Dacing, bunga raya lawan sebenar di Machan

0

Oleh Michael Ubam//

 

KANOWIT: Ada tiga calon yang bertanding di kerusi N.50 Machan tetapi pemerhati politik beranggapan pertarungan sebenar adalah antara dua calon muda iaitu antara Allan Siden Gramong daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Bebas Semawi Paong.

Penduduk Ulu Machan sudah lama menunggu pemimpin generasi muda yang berkualiti, berani dan berwibawa untuk mewakili suara rakyat di Machan.

Dua calon muda yang merebut kerusi tersebut ialah calon BN Allan Siden Gramong dan calon Bebas Semawi Paong yang masing-masing berumur 30 dan 38 tahun.

Seorang lagi, calon PKR George Chen Nyuk Fa, 54, akan menguji nasibnya bagi kali kedua selepas dikalahkan oleh penyandang kerusi Machan Datuk Gramong Juna pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011.

Secara rambangnya, jika faktor umur menjadi pengukur untuk menentukan bakal wakil rakyat Machan, pemerhati politik berpendapat kerusi Machan akan menjadi perebutan antara calon muda iaitu Allan dan Semawi yang mempunyai kelebihan dan kredibiliti berlainan.

Berdasarkan keputusan undi pada PRN 2011 bagi kerusi Machan, Gramong menang dengan mengutip 3,683 undi dengan majoriti 1,629 undi untuk mengalahkan pencabar terdekat, calon PKR yang hanya memperoleh 2,054 undi manakala calon SNAP (338) dan PCM (696).

George Chen ketika ditemui mendakwa, beliau mempunyai tanggapan berbeza mengenai peluang antara mereka yang bertanding.

Beliau berharap jumlah undinya akan meningkat walaupun membayangkan kemungkinan calon BN mampu mencapai kemenangan pada pilihan raya kali ini.

George berkelulusan Pengurusan dan Perdagangan daripada Lincoln University dan pemegang sarjana Curtin University, juga merupakan pensyarah Open University dan program berkembar UCSI.

“Mungkin BN akan menang tetapi jumlah akan kurang sedikit,” katanya ketika ditemui di sini sambil menambah isu-isu GST, tanah Hak Adat Bumiputera dan kemunduran kawasan Ulu Machan akan menjadi ‘peluru’ kempennya.

Bagi Semawi yang menggunakan logo bunga raya, beliau mahu membela nasib rakyat terutama di kalangan penduduk miskin di kawasan Machan.

“Untuk tujuan itu, seorang wakil rakyat mestilah berkualiti, bertanggungjawab, bersikap yakin dan komited untuk memperjuangkan kepentingan rakyat,” jelasnya

Dakwanya, beliau amat sensitif terhadap isu berkaitan dengan masyarakat di kawasan pedalaman lebih-lebih lagi penduduk rumah panjang.

Semawi memiliki ijazah dalam perundangan dan bekas jurutera kanan (Senior Contract Engineer) bersama Sarawak Shell Berhad (Upstream-Exploration & Productions) di Miri.

Calon ini mendakwa, telah membuat persediaan awal turun padang untuk mendampingi rakyat Machan sejak enam bulan lepas untuk memahami masalah dan keperluan mereka.

Beliau berpuas hati dengan sokongan yang diberikan oleh pelbagai lapisan umur penduduk di kawasan Machan yang telah dilawatinya.

“Sehingga kini, saya telah melawat sebanyak 95 peratus daripada keseluruhan kawasan Machan dan daripada tindak balas yang diterima pengundi di sini sudah berfikiran lebih terbuka dan bersetuju dengan pendapat saya,” kata Semawi.

Manakala Allan pula berpendapat, hanya kerajaan BN mampu membawa perkembangan pembangunan yang lebih pesat, berterusan serta menerajui kerajaan di negeri ini.

“Sebagai orang muda saya berjanji akan bekerja lebih keras untuk rakyat di Machan dan sudah tentu saya akan menyambung usaha yang telah dilaksanakan oleh ayah saya sebagai bekas wakil rakyat di Machan,” katanya.

Jelasnya, beliau akan memberi perhatian serius kepada masalah yang membelenggu penduduk rumah panjang yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Saya bersedia untuk menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin sekiranya saya dipilih menjadi wakil rakyat kelak kerana daripada tinjauan peribadi sejak kebelakangan ini, kawasan Ulu Machan dan Ulu Sungai Poin memerlukan perubahan dari segi pembangunan infrastruktur dan prasarana.

“Oleh itu, percaya kepada saya sebagai Pasukan Adenan yang dapat menyalurkan peruntukan pembangunan untuk merealisasikan kehendak rakyat di Machan,” ujarnya.