Jentera BN diingat tidak terlalu selesa, perlu bekerja lebih kuat

0
KEMUDAHAN RAKYAT: Abang Johari melakukan simbolik perasmian pembinaan jambatan keluli Kampung Kudei dengan kos lebih RM1 juta.

KEMUDAHAN RAKYAT: Abang Johari melakukan simbolik perasmian pembinaan jambatan keluli Kampung Kudei dengan kos lebih RM1 juta.

KUCHING: Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terlalu selesa meskipun diyakini mampu memenangi antara 68 hingga 70 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini.

Sebaliknya menurut Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, semua jentera BN perlu bekerja lebih kuat sepanjang tempoh baki lima hari berkempen ini.

“Minggu pertama PRN11 kita sudah menang dua kerusi dan berdasarkan tinjauan dalam minggu kedua ini kita mungkin boleh menang antara 68 hingga 70 kerusi daripada 82 kerusi.

“Selain itu, kita mungkin akan menyaksikan pertambahan kerusi yang dimenangi di kawasan bandar dan separuh bandar.

“Sebab itu, dalam tempoh lima hari berkempen yang tinggal ini kita mesti bekerja lebih kuat termasuk di Satok ini,” katanya pada Majlis Perasmian Pembinaan Jambatan Keluli Kampung Kudei di sini, semalam.

Meskipun yakin menang di Satok, namun bukan kemenangan semata-mata yang dimahukan oleh calon BN Satok ini.

Sebaliknya beliau mahu kemenangan dengan majoriti besar di kerusi yang disandangnya yang merupakan salah satu daripada kubu kuat BN.

Mengulas mengenai jambatan tersebut, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan berkata ia akan menghubungkan Kudei Lama, Kudei Baru terus ke SK Combined, Kuching.

Jambatan keluli baharu ini akan menggantikan jambatan kayu sedia ada yang digelar sebagai jambatan maut oleh penduduk dari sekitar kawasan Kudei ini.

Kos bagi jambatan sepanjang 500 meter ini ialah lebih RM1 juta dan sebaik siap kelak ia juga boleh dilalui kenderaan ringan seperti Myvi, Viva, Kancil, Kelisa dan Proton.

Dalam pada itu Abang Johari berkata jika diberi mandat pada 7 Mei ini, beliau menjamin lebih banyak pembangunan akan dilaksanakan di Satok.

Apa yang penting, menurut penyandang kerusi DUN Satok ini ialah kekalkan perpaduan yang dinikmati ketika ini di bawah kerajaan BN dan pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.