RELA pastikan keselamatan, keamanan negara terjamin

0

SARIKEI: Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) merupakan benteng kedua pertahanan negara memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin sepanjang masa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan berkata selain memainkan peranan memastikan keselamatan dan kesejahteraan peringkat akar umbi, RELA turut berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan.

“Di Sarawak terdapat seramai 341,000 orang anggota RELA berdaftar manakala daerah Sarikei dan Meradong pula terdapat seramai 13,508 ahli RELA berdaftar.

“Sehubungan itu, sempena Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini, kita menyeru anggota RELA agar keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dan membuat keputusan bijak memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN),” katanya pada Program Pemimpin Bersama RELA di sini, semalam.

Program itu berlangsung di Dewan Suarah Sarikei dan dihadiri seramai 1,800 anggota RELA dari Sarikei dan Meradong.

Menurut Nur Jazlan, kerajaan begitu mengambil berat terhadap pasukan RELA dan sejumlah RM18 juta telah diperuntukkan bagi kelengkapan pakaian seragam.

“Daripada jumlah tersebut, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM8 juta manakala kerajaan pusat turut memperuntukkan RM8 juta kepada pasukan RELA.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang, jumlah ahli RELA seramai 2,676 orang dan jumlah berdaftar seramai 1,952 bersamaan 18.98 peratus daripada 10,286 pengundi di sini.

“Bagi DUN Semop pula, seramai 4,208 orang dengan 3,701 ahli berdaftar bersamaan dengan 38.36 peratus daripada keseluruhan 9,947 pengundi di DUN ini,” katanya.

Sementara itu, bagi DUN Repok terdapat seramai 1,956 orang dan jumlah berdaftar seramai 1,616 bersamaan 7.95 peratus daripada jumlah keseluruhan 20,315 pengundi di DUN ini.

“Untuk DUN Meradong, jumlah ahli RELA seramai 4,668 orang dan jumlah berdaftar adalah 4,372 orang iaitu bersamaan 25.84 daripada keseluruhan 16,918 pengundi DUN ini.

“Maka rumusannya kita menyeru kepada anggota RELA sekiranya seorang anggota RELA dapat membawa seorang pengundi dari kawasan mereka memberi sokongan kepada calon BN, kita yakin calon-calon BN mampu menang besar,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah RELA Datuk Kamariah Mohd Noah, Pengarah RELA Sarawak Rini Tupong, Residen Bahagian Sarikei Dr Anthony Laiseh, calon BN DUN Repok Dato Sri Huang Tiong Sii dan calon BN DUN Meradong Ding Kuong Hiing.