Diharap lancar

0

Pengundian awal berlangsung hari ini babit 24,604 pengundi tentera, polis dan PGA bersama pasangan masing-masing

TELITI: Takun (dua kiri) dibantu para pegawai SPR Sarawak memeriksa peralatan pilihan raya yang akan dihantar ke 41 kawasan DUN seluruh negeri, semalam.

TELITI: Takun (dua kiri) dibantu para pegawai SPR Sarawak memeriksa peralatan pilihan raya yang akan dihantar ke 41 kawasan DUN seluruh negeri, semalam.

// Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersedia untuk proses pengundian awal hari ini membabitkan 24,604 pengundi terdiri daripada anggota tentera, polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pasangan masing-masing.

Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata, sebanyak 79 pusat mengundi dan 100 saluran mengundi akan dibuka di seluruh negeri dari jam 8 pagi hingga 2 petang dan 5 petang.

“Saya berharap proses mengundi awal esok (hari ini) akan berjalan dengan lancar dan pengundi awal ini, kalau boleh turunlah mengundi ke tempat-tempat yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media di Hornbill Skyways di sini, semalam.

Terdahulu, beliau bersama para pegawai SPR negeri melakukan pemeriksaan peralatan pilihan raya terdiri daripada kertas undi, dakwat pilihan raya dan Borang 8 sebelum dihantar ke 41 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan tiga helikopter dan dua pesawat ringan.

Beliau juga memberitahu, SPR akan menggunakan helikopter untuk ke pusat-pusat mengundi yang jauh seperti di Baram, Belaga dan Murum.

Mengulas lanjut mengenai proses penghantaran peralatan mengundi itu, Takun berkata, 41 kawasan DUN itu melibatkan Zon Sibu, Sri Aman dan Miri termasuk Batu Danau, Limbang.

Beliau berkata, penghantaran semalam adalah penghantaran terakhir selepas siri pertama dilakukan pada 27 April bagi kertas undi awal, diikuti 30 April untuk kertas undi biasa.

“Helikopter pertama melakukan penghantaran ke Saratok, Sarikei, Pakan dan Julau, destinasi helikopter kedua pula ialah Song, Kapit, Belaga dan Sungai Asap, manakala helikopter ketiga membuat penghantaran ke Tanjung Manis, Daro dan Mukah.

“Pesawat ringan pula akan membuat penghantaran ke Sibu dan Bintulu dan yang satu lagi ke Miri, Marudi dan Limbang,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Takun berkata SPR menjangkakan keputusan penuh Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) akan diketahui pada jam 11 malam hari mengundi, 7 Mei nanti.

Beliau berkata, ini berikutan keputusan SPR membenarkan pengiraan undi dilakukan pada jam 12.30 tengah hari bagi pusat-pusat mengundi ditutup awal.

“Jangkaan awal keputusan diperolehi ialah pada jam 6.30 petang kerana kali ini, SPR membenarkan pengiraan undi dibuat bermula jam 12.30 tengah hari bagi pusat-pusat mengundi ditutup awal.

“Bagi pengumuman penuh keputusan, seperti yang Pengerusi (SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah) katakan tempoh hari, kita menjangkakan mungkin 11 malam. Maknanya pengumuman keseluruhan pada jam 11 malam 7 Mei nanti,” jelasnya.