Lebih 1,000 pelabur dakwa ditipu skim cepat kaya

0

Mangsa lapor polis, kerugian mencecah kira-kira RM15 juta

GEORGE TOWN: Lebih 1,000 pelabur di negeri ini mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan skim cepat kaya selepas membuat pelaburan tunai dengan sebuah syarikat pada September tahun lepas membabitkan kerugian kira-kira RM15 juta.

Susulan itu seorang daripada mangsa, R. Kumaraguru Naidu, 54, bersama-sama 33 lagi individu, terdiri daripada bekas guru, peniaga dan guru tuisyen semalam membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dekat sini.

Kumaraguru Naidu berkata beliau mengesan wujud penyelewengan yang dilakukan oleh ejen syarikat di negeri itu, selepas mereka gagal membuat bayaran pulangan pelaburan bermula Februari lalu.

“Bayaran bulanan dikutip wakil syarikat sama ada secara tunai atau ‘bank in’ dan ia mengikut pakej yang diambil bermula dari RM350 hingga RM35,000.

Sekiranya melabur RM350 maka bayaran pulangan RM100 dan jika melabur RM35,000 pulangan yang diterima setiap bulan adalah RM10,000.

“Pada mulanya pulangan pelaburan berjalan lancar namun sejak Februari lepas syarikat gagal buat bayaran seperti yang dijanjikan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Malah Kumaraguru Naidu berkata ada yang hanya merasai pulangan pelaburan itu dua kali dan bagi pelabur yang baharu menyertai skim itu awal tahun ini, langsung tidak mendapat bayaran pulangan.

Beliau tampil membuat laporan polis bagi meminta pihak polis menyiasat kemungkinan berlakunya penyelewengan wang melibatkan ejen-ejen yang dilantik oleh syarikat itu.

“Duit ini akan dikutip wakil syarikat dan serahkan wang ini kepada pengurus di cawangan Pulau Pinang dan pengurus ini akan serahkan wang kepada syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Kami menyeru pihak polis menjalankan siasatan yang telus…serta menghalang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab meneruskan skim pelaburan seperti ini,” katanya. — Bernama