92 laporan kesalahan diterima dalam sembilan hari kempen

0

KUCHING: Polis Sarawak menerima sebanyak 92 laporan atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh sembilan hari berkempen sempena Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) Sarawak.

Jurucakap rasmi polis untuk PRN11 Mohd Harris Daud berkata, daripada jumlah itu sebanyak 53 kertas siasatan dibuka sejak hari penamaan calon.

Katanya, setakat 2 Mei sebanyak 18 laporan baharu diterima, dan 12 kertas siasatan telah dibuka.

“Baki dari laporan yang kita terima itu diserahkan kepada agensi berkaitan.

“Sejak hari penamaan calon tiada tangkapan dibuat untuk kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya,” katanya.

Harris berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa proses pengundian awal di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan sebanyak 134 permit berkempen dikeluarkan berdasarkan statistik yang direkodkan sehingga 2 Mei.

Jumlah itu merangkumi pengeluaran permit untuk mengadakan ceramah oleh Barisan Nasional (BN), parti pembangkang dan parti bebas.

“BN mencatatkan 85 permit, manakala parti pembangkang dan bebas masing-masing, 36 dan 13,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Harris berkata kawasan Serian dan Bau antara lokasi yang mempunyai jumlah kempen tertinggi iaitu 39 ceramah.