Faiz merangkul Piala Summer Mall

0
PEMENANG: Pemenang Piala The Summer Mall Samarahan, Faiz Rabaiee (belakang empat kanan) bersama Jumaat (belakang tiga kiri), jawatankuasa penganjur dan ahli-ahli Kelab Muaythai Kenyalang pada majlis penyampaian hadiah.

PEMENANG: Pemenang Piala The Summer Mall Samarahan, Faiz Rabaiee (belakang empat kanan) bersama Jumaat (belakang tiga kiri), jawatankuasa penganjur dan ahli-ahli Kelab Muaythai Kenyalang pada majlis penyampaian hadiah.

KUCHING: Petinju Kelab Muaythai Kenyalang, Faiz Rabaiee berjaya merangkul Piala The Summer Mall Samarahan (Pro 61kg) pada Kejohanan Muaythai Samarahan 2016 di Pusat Beli- Belah Summer Mall, Kota Samarahan Ahad lalu.

Faiz menumpaskan wakil Kelab Muaythai Phoenix Meranek, Roslan Johani menerusi kiraan mata dalam aksi final berlangsung sengit.

Satu lagi pertarungan pro jemputan menyaksikan pemenang emas SUKMA 2013, Heendrew Lois muncul juara selepas menewaskan petinju Gymbox, Morry dari Iran.

Heendrew menang selepas perlawanan dihentikan ekoran kecederaan dialami Morry pada pusingan ketiga.

Turut mencatat kemenangan jaguh muaythai Sarawak, Trevor Salang (Warrior Miri) menundukkan Randall The Slayer Kadayum dari Sabah menerusi kiraan mata.

Kedua-duanya beraksi dalam perlawanan Pro Jemputan Borneo.

Perebutan Piala Perpaduan Samarahan (46kg) turut mencuri tumpuan antara wakil Kelab Muaythai Phoenix Meranek, Mohd Khairie Nazmie dan Sylvester Roy Sudirman dari Kelab Muaythai Lundu.

Khairie berjaya menumbangkan Sylvester pada pusingan kedua.

Seramai 52 petinju mewakili sembilan kelab termasuk Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berentap pada kejohanan anjuran bersama Persatuan Muaythai Bahagian Samarahan dan Kelab Muaythai Phoenix Meranek dengan kerjasama pengurusan Pusat Beli-Belah Summer Mall, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan dan beberapa agensi berkaitan.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang merasmikan pembukaan kejohanan yang turut dihadiri Penasihat Undang-Undang Persatuan Muaythai Negeri Sarawak Datuk Idris Buang, Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak Jumaat Ibrahim, Penaung Kejohanan Muaythai Samarahan, Tan Sri Dato Sri Abang Ahmad Urai dan dif-dif kehormat lain.

Kelab-kelab yang mengambil bahagian adalah Kelab Muaythai Phoenix Meranek Samarahan, Persatuan Muathai UiTM Sarawak Samarahan, Kelab Muaythai Kenyalang Kuching, Kelab Muaythai SS Fighter Kuching, Kelab Muaythai Lundu, Gymbox Kuching, Kelab Muaythai PS Bintulu, Kelab Muaythai Warrior Miri dan seorang peserta jemputan dari Sabah.

Kejohanan itu melibatkan keseluruhan 27 perlawanan profesional dan amatur dengan aksi bermula dari jam 11 pagi hingga ke malam.