Kekecewaan terus melingkari kem skuad Piala Presiden Sarawak

0
KEKALAHAN BERTERUSAN: Skuad Piala Presiden Sarawak tewas buat kali keempat di tangan Terengganu.

KEKALAHAN BERTERUSAN: Skuad Piala Presiden Sarawak tewas buat kali keempat di tangan Terengganu.

KUCHING: Kekecewaan terus melingkari kem bawah 21 tahun Sarawak selepas mencatat kekalahan keempat berturut-turut dalam saingan Piala Presiden 2016 kelmarin.

Skuad itu tumpas 2-0 di tangan Terengganu pada aksi pertama pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.

Ketiadaan tujuh tonggak sekali lagi menjadi faktor kekalahan skuad kendalian Fuad Grbesic itu.

Meskipun berjaya mengimbangi perlawanan hingga pertengahan babak pertama, gawang Sarawak akhirnya bocor pada minit ke-24.

Sarawak berpeluang menyamakan kedudukan namun gagal disempurnakan oleh Abdul Rahim meskipun berada di hadapan gol.

Terengganu melengkapkan kemenangan bergaya dengan meledakkan jaringan kedua pada masa kecederaan.

“Walaupun beraksi tanpa tujuh pemain tonggak, kita berjaya memberi tentangan kepada tuan rumah awal permainan,” kata penolong jurulatih Sarawak, Mohd Safri Amit mengulas persembahan anak-anak buahnya.

Namun, katanya kegagalan barisan penyerang menyambar beberapa peluang menjaringkan gol merencatkan usaha Sarawak untuk menyaingi tuan rumah.

Jelasnya, barisan pertahanan juga sedikit leka sehingga memberi peluang kepada penyerang Terengganu menjaringkan gol.

Sarawak akan meneruskan kempen Piala Presiden 2016 menentang Kelantan di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching pada 5 Mei (Khamis) ini.