Program MyLesen sasar 170,000 belia miliki lesen motosikal B2

0

KUALA LUMPUR: Lebih 170,000 belia khususnya pelajar sekolah di seluruh negara dijangka memiliki lesen motosikal kelas B2 (kapasiti enjin di bawah 250 cc) menerusi program MyLesen pada tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata setakat ini lebih 65,000 belia memiliki lesen berkenaan menerusi program yang dilancarkan sejak 14 Sept tahun lepas.

“Kami jangkakan permohonan untuk mendapatkan lesen menerusi MyLesen akan terus meningkat kerana bayaran yang dikenakan lebih murah berbanding kadar biasa.

“Program ini akan membantu mengurangkan jumlah penunggang motosikal tanpa lesen di negara ini dan pastinya akan menurunkan kadar kemalangan kerana mereka akan lebih peka mengenai undang-undang dan peraturan jalan raya,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata pihaknya bercadang untuk melaksanakan Program MyLesen sebanyak tiga kali setahun bermula tahun depan.

“Kami akan menambah baik program ini dalam setiap fasa bagi memastikan ia terus relevan seterusnya menjadi platform pilihan masyarakat untuk mendapatkan lesen motosikal,” katanya.

Ismail menegaskan program MyLesen akan diteruskan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pemanduan berhemah serta risiko menunggang motosikal tanpa lesen dan perlindungan insurans yang sah.

Program MyLesen dilaksanakan bersama-sama institusi serta akademi memandu dan dilancarkan serentak di seluruh negara pada 15 Sept 2015, merupakan lanjutan komitmen kerajaan melalui JPJ berdasarkan konsep merakyatkan perkhidmatan awam.

Program dengan slogan 1 Rakyat 1 Lesen itu menyasarkan golongan belia yang belum memiliki lesen memandu sah dan terdiri daripada mereka berumur 16 tahun ke atas di bandar dan luar bandar.

Bayaran bagi mendapatkan lesen di bawah program berkenaan hanya RM299 berbanding kadar biasa iaitu dalam lingkungan RM350 dan ke atas. — Bernama