Sandaran penyerang muda

0

Oleh Harry Ilias//

MATA PENTING: Sarawak memburu mata penting apabila berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menentang Terengganu dalam aksi Liga Super malam ini.

MATA PENTING: Sarawak memburu mata penting apabila berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menentang Terengganu dalam aksi Liga Super malam ini.

KUCHING: Pengendali Sarawak, Datuk K Rajagobal menyandarkan harapan tinggi di bahu penyerang muda, Nur Shamie Iszuan Amin dan Tommy Mawat untuk membantu Sarawak menjinakkan skuad Sang Penyu (Terengganu) dalam aksi Liga Super 2016 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Menurut Rajagobal, khidmat dua penyerang Piala Presiden itu amat diperlukan tatkala Sarawak kehilangan tiga pemain tonggak iaitu Gilmar Da Silva, K Gurusamy dan K Thanaraj yang masih diulit kecederaan.

“Saya amat berpuas hati dengan prestasi Nur Shamie dan Tommy pada perlawanan lalu dan yakin kedua-dua pemain muda itu dapat membantu kita mendapatkan keputusan positif pada perlawanan malam esok (malam ini),” katanya ketika dihubungi semalam.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata, keduadua pemain itu telah menunjukkan semangat perjuangan cukup tinggi untuk bersaing dengan pemain-pemain lebih berpengalaman dan ini satu permulaan baik untuk masa depan Sarawak.

“Gilmar masih direhatkan akibat kecederaan lutut kiri manakala Gurusamy dan Thanaraj mengalami hamstring,” katanya.

Menurut Rajagobal, keputusan positif pada perlawanan malam ini sangat penting dalam usaha menjarakkan Sarawak daripada zon penyingkiran.

Justeru itu, beliau menggesa semua pemainnya bangkit memberikan aksi yang lebih bertenaga sekali gus membawa balik sebarang mata.

“Kita sedar Terengganu bukan lawan mudah namun jika semua pemain mengekalkan fokus dan tidak mensia-siakan setiap peluang menjaringkan gol, saya pasti kita mampu melakar keputusan positif,” ujarnya.

Sarawak perlu menang atau seri untuk menjarakkan diri daripada zon penyingkiran.

Setakat ini, skuad Ngap Sayot menduduki tangga ke-12 dengan hanya mengumpul enam mata daripada sembilan perlawanan.

Barisan kemungkinan terdiri Iqbal Suhaimi, Davide Grassi, Ramesh Lai, Hairol Mokhtar, Makeche Ndumba, Mohd Shahrol Saperi, Syahrul Azwari Ibrahim, Nur Shamie Iszuan Amin, Tommy Mawat, Junior Aparecido dan Mohd Riduwan Ma’on.