Warga asing tikam adik angkat sampai mati

0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing mati dibunuh selepas ditikam menggunakan pisau oleh abang angkatnya dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rampayan Manggatal, di sini.

Mangsa yang berumur 19 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang dapur rumah berkenaan kira-kira jam 11.30 malam Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M.Chandra berkata, keadaan mangsa disedari oleh tuan rumah (saksi) yang juga suami kepada ibu saudara mangsa.

“Sebelum kejadian, saksi utama mengesahkan mangsa dan suspek, 37, tidur di ruang tamu rumahnya seperti kebiasaan.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 11.30 malam, saksi terjaga selepas mendengar bunyi bising di ruang tamu.

“Sebaik keluar dari biliknya, saksi melihat suspek sedang memegang sebilah pisau manakala mangsa terbaring berlumuran darah di ruang dapur bersebelahan ruang tamu,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata saksi terus memeluk suspek dari bertindak lanjut dan dengan bantuan jiran, suspek berjaya ditangkap.

Chandra berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizebeth (QEH) untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu jelasnya, setakat ini motif kejadian masih belum dapat disahkan dan siasatan lanjut dijalankan.

“Mangsa dikatakan tinggal bersama keluarga ibu saudaranya sejak setahun lalu dan suspek yang juga abang angkatnya mula ikut tinggal di rumah itu sebulan lepas.

“Kedua-dua mangsa dan suspek tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan dan kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.