Atlet luar Kuching lebih menyerlah

0

Subramaniam berharap kerajaan negeri pertimbang bina stadium hoki baharu di Sibu dan Miri

BAHARU: Padang hoki baharu di Petra Jaya digunakan untuk menganjur Pesta Hoki Petra Jaya Sembilan Sebelah 2016 pada Mac lalu.

BAHARU: Padang hoki baharu di Petra Jaya digunakan untuk menganjur Pesta Hoki Petra Jaya Sembilan Sebelah 2016 pada Mac lalu.

KUCHING: Ketua jurulatih skuad hoki wanita Sarawak, S Subramaniam berharap kerajaan negeri mempertimbang membina stadium hoki baharu di Sibu dan Miri.

Menurutnya, ketika Kuching menikmati tiga stadium termasuk yang terbaharu dibina di Kompleks Stadium Sarawak, Petra Jaya, Sibu dan Miri masih tertunggutunggu stadium baharu saban tahun.

Beliau berkata, program pembangunan hoki di dua bahagian itu amat menyedihkan di mana atlet-atlet hanya berlatih di atas permukaan simen atau padang rumput biasa.

“Adalah mengecewakan kerana Sibu dan Miri tidak mempunyai padang hoki yang baik dan mereka amat memerlukannya untuk membangunkan sukan tersebut,” katanya sambil menambah sekolah dan jurulatih di Sibu amat aktif membangunkan sukan hoki.

Sarawak mempunyai tiga padang hoki iaitu Stadium Hoki Sarawak, Jalan Padungan, Stadium Hoki Sarawak, Petra Jaya dan Stadium Hoki SMK Paku, Bau.

Menurut Subramaniam, apa yang menjadi ironi ialah pasukan dari luar Kuching lebih menyerlah pada kejohanan peringkat umur antara bahagian dan Kejohanan MSSS meskipun tidak dilengkapi dengan padang yang berkualiti.

“Justeru itu, kita tidak boleh menerima jika atletatlet dari Kuching tidak dapat memberi keputusan yang baik berbanding atlet-atlet dari Sibu dan Miri kerana mereka mempunyai fasiliti baik,” tambahnya.

Beliau berkata, sekolah di Kuching dan Samarahan juga jarang berlatih di Stadium Hoki Sarawak (Jalan Padungan) dan hanya atlet-atlet Sukan Malaysia (SUKMA) menjalani latihan di sini.

“Saya faham, faktor logistik menjadi masalah utama kerana mereka perlu mengambil dan membawa balik atlet-atlet selepas latihan dan memerlukan kos tinggi.

“Namun, jika mahu berjaya dalam sukan hoki mereka perlu mencari jalan dan berusaha membawa atletatlet bermain dan menjalani latihan di sini,” jelasnya.

Katanya, Sarawak mempunyai ramai pemain berbakat namun kurang pengalaman bertanding terutamanya di depan gol.