Final Piala FA: Mengapa tiada tiket buat kanak-kanak, pelajar

0

KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) mempersoalkan ketiadaan tiket khas bagi kanak-kanak dan pelajar menyaksikan perlawanan akhir Piala FA pada 14 Mei ini.

Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa melihat tindakan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang tidak memperuntukkan t iket khas tersebut sebagai langkah ke belakang oleh entiti swasta itu yang dipertanggungjawab untuk mencipta keghairahan sokongan penonton kepada bola sepak tempatan.

Perlawanan akhir Piala FA adalah antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PKNS FC di Stadium Shah Alam, Selangor.

“Saya hairan dengan alasan kononnya penjualan tiket sebegitu pernah disalahgunakan, sedangkan tiada langsung laporan mengenainya diketengahkan sebelum ini.

“Malah harga tiket RM50 berbanding RM40 pada tahun lepas juga dilihat membebankan penyokong,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Khawari berkata FMLLP seharusnya menggunakan kebi jaksanaan bagi menampung sebarang kos menerusi penajaan dan bukannya membebankan penyokong menerusi kenaikan harga tiket.

Beliau turut mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar campur tangan untuk kembali memperkenalkan penjualan tiket untuk kanak-kanak dan pelajar.

“FAM tidak harus akur dengan pendekatan keuntungan jangka pendek yang jadi amalan FMLLP kerana dengan menggalakkan kehadiran lebih ramai kanakkanak dan pelajar menyaksikan perlawanan penting, ia akan memperkukuhkan minat terhadap bola sepak tempatan untuk jangka panjang,” katanya.

Sebanyak 60,000 tiket akan dijual bermula jam 9 pagi pada 9 Mei yang tiket untuk penyokong PKNS akan dijual di Stadium Shah Alam sementara untuk penyokong JDT akan dijual di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, manakala baki 10,000 tiket akan dijual secara dalam talian.— Bernama