Piala Presiden: Sarawak pincang berdepan Kelantan petang ini

0

KUCHING: Skuad Piala Presiden Sarawak bakal berdepan Kelantan petang ini di Stadium Negeri di sini dalam keadaan pincang selepas kehilangan enam pemain tonggak.

Penolong Jurulatihnya, Mohd Safri Amit berkata Sarawak akan melayan kunjungan skuad Cik Siti Wan Kembang tanpa kelibat Nur Shamie Iszuan Amin, Tommy Mawat, Rodney Celvin Akwensivie, Jimmy Raymond, Iqmal Mustakqim dan penjaga gol, Philip Pengiran Biai.

“Kita berdepan Kelantan tanpa enam pemain utama yang dipanggil menyertai skuad senior dan masih dilanda kecederaan. Memang diakui ia dijangka menyukarkan peluang menyaingi pasukan Pantai Timur itu.

“Namun, saya tetap mengharapkan fokus pemain-pemain sedia ada untuk memberi tentangan sehingga wisel penamat,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd Safri, Kelantan kini menduduki tangga kedua Kumpulan A turun dengan berbekalkan misi untuk memburu mata.

“Ini adalah bagi menebus kehampaan selepas tewas mengejut di tangan Felda United kelmarin. Justeru itu, saya menggesa kebangkitan pemain-pemain agar tidak dihampakan sekali lagi di laman sendiri,” ujarnya.

Mohd Safri berkata, skuadnya juga memerlukan mata berharga untuk memperbaiki kedudukan mereka ketika ini.

Selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut, skuad Piala Presiden Sarawak amat mendambakan kemenangan untuk terus memberi saingan dalam kempen liga yang memasuki pusingan kedua.