Sarawak akan memiliki Pusat Latihan RELA di Sematan

0

KUCHING: Sarawak akan memiliki sebuah Pusat Latihan RELA terletak di Sematan dengan keluasan 38 ekar tanah.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memberitahu bahawa kerajaan negeri telah meluluskan tapak berkenaan.

“Ketua Menteri telah meluluskan tanah seluas 38 ekar untuk dibangunkan sebagai Pusat Latihan RELA Sarawak.

“Pusat berkenaan akan dibangunkan di Sematan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama RELA yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta dihadiri lebih kurang 12,000 anggota RELA di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Tambah Najib, menyedari anggota RELA yang merupakan barisan kedua hadapan selepas polis dan tentera dalam mempertahankan keamanan, kerajaan pusat meluluskan RM20 juta kepada RELA Sarawak terutama bagi tujuan membeli uniform.

Katanya RM10 juta diperuntukkan pada tahun ini sementara RM10 juta untuk bantuan pada tahun depan kepada lebih 300,000 anggota RELA di seluruh Sarawak.

Najib pada masa yang sama mengingatkan kepada anggota RELA yang menjadi mata serta telinga kepada kerajaan di peringkat akar umbi untuk bersama memainkan peranan demi memastikan keamanan dan kestabilan politik di Sarawak.

“Kita sebagai sebuah negara saya ibaratkan sebagai ‘kembar siam”, iaitu keamanan dan kestabilan politik kerana tidak ada gunanya tidak ada keamanan dan kestabilan politik.

“Kalau kita tidak ada kedua-dua ini, negara akan menjadi huru hara… tidak ada kestabilan politik tidak ada pembangunan, ekonomi tidak berkembang dan pelabur tidak yakin datang kepada kita.

“Maka itu kita harus memahami tentang konsep ‘kembar siam’ kerana tidak ada maknanya kestabilan jika ada ancaman dari luar,” katanya.

Najib menegaskan, maka itu beliau amat kagum dengan Sarawak kerana mampu mengekalkan keamanan dan keharmonian serta kestabilan politik meskipun didiami oleh pelbagai etnik yang tidak menjadi penghalang kepada negeri terus maju.