Sarawak tumpas lagi, kekal di dasar liga

0

KUCHING: Sarawak terus dirundung malang apabila tumpas di pangkuan Terengganu dengan 3-2 pada aksi Liga Super 2016 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu di depan apabila Joseph Kalang Tie mengecewakan bekas rakan-rakan sepasukan menjaringkan gol pertama dengan bola leret pada minit ke-13 setelah menerima umpanan cantik daripada rakannya.

Bagaimanapun, Sarawak menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Makeche Ndumba yang menggunakan pengalamannya menguis bola di depan gawang Terengganu setelah menerima hantaran baik daripada Tommy Mawat pada minit ke-18.

Minit ke-23, Syahrul Azwari Ibrahim memperolehi peluang terbaik untuk menambah jaringan namun bola hantaran cantik daripada Makeche gagal disempurnakannya dengan berkesan.

Joseph yang sering melakukan kekasaran terhadap pemain- pemain Sarawak dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan pada minit ke-36.

Namun, Junior yang menggunakan pengalamannya melakukan sepakan percuma di luar kotak penalti Terengganu berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol tuan rumah.

Sarawak mengakhiri babak pertama dengan gol kedua hasil ledakan sepakan penalti oleh Junior setelah bola terkena tangan pemain Terengganu, Hazmizan Kamaluddin pada minit ke-45.

Babak kedua, skuad Penyu cuba bangkit memburu gol penyamaan dan berhasil apabila Ahmad Nordin Alias menyamakan kedudukan (2- 2) pada minit ke-50 setelah menyudahkan bola sepakan percuma Gustavo Lopez dari luar kota penalti Sarawak.

Setelah memperolehi gol penyamaan nampaknya Terengganu terus mengasak kubu pasukan pelawat dengan beberapa percubaan cantik daripada rangkaian penyerangnya namun berjaya digagalkan oleh penjaga gol Sarawak, Mohd Iqbal Suhimi.

Sarawak mengeluarkan ketua pasukan, Mohd Shahrol Saperi dan memasukkan Rodney Celvin manakala Tommy juga dikeluarkan dan memasukkan J Patiban.

Sementara Ashri Chuchu dimasukkan bagi menggantikan Nur Shamie Iszuan untuk menguatkan barisan serangannya.

Minit ke-70, Terengganu menjaringkan gol ketiga menerusi rembatan kaki kiri Ashari Samsudin yang ternyata gagal diselamatkan oleh Mohd Iqbal.

Minit-minit terakhir Terengganu banyak mengasak kubu Sarawak yang menyaksikan pasukan pelawat banyak bertahan dan sekali-sekala melakukan serangan balas.

Sehingga tamat perlawanan Sarawak tumpas lagi dan kekal di dasar liga setakat ini.