Hilang fokus, Rajagobal jelas kecewa

0

Oleh Harry Ilias//

AKSI HAMBAR: Rembatan pemain Terengganu, Issey Nakajima (kiri) berjaya dihalang pemain Sarawak, Davide Grassi pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin. — Gambar Bernama

AKSI HAMBAR: Rembatan pemain Terengganu, Issey Nakajima (kiri) berjaya dihalang pemain Sarawak, Davide Grassi pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu
kelmarin. — Gambar Bernama

KUCHING: Pemain Sarawak harus menyalahkan diri sendiri selepas tewas 2-3 di tangan Terangganu pada aksi Liga Super 2016 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.

Ketua Jurulatih Datuk K Rajagobal jelas kecewa selepas anak-anak buahnya memanfaatkan peluang meraih tiga mata penuh pada perlawanan tersebut.

Menurutnya, pemain hilang fokus pada separuh masa kedua selepas bermula baik mendahului 2-1 pada babak pertama.

“Saya cukup kecewa kerana kita melepaskan peluang terbaik untuk memungut mata.

“Pemain hilang fokus pada separuh masa kedua dan tidak sepatutnya melepaskan dua gol mudah,” ujar beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut Rajagobal lagi, ketiadaan empat pemain utama akibat kecederaan juga menyumbang kepada kekalahan Sarawak malam kelmarin.

“Saya bukan nak memberi alasan tetapi ketiadaan pemain tonggak menyukarkan kita mempamerkan aksi yang lebih berkualiti.

” Pada perlawanan tersebut, bekas pemain Sarawak Joseph Kalang Tie menjaringkan gol pertama Terengganu pada minit ke-13 selepas menerima umpanan cantik dari rakan.

Bagaimanapun Sarawak berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Makeche Ndumba lima minit kemudian.

Sarawak menutup aksi separuh masa pertama dengan jaringan 2-1 selepas Junior Aparecido menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-45 setelah pemain Terengganu Hazmizan Kamaluddin tertampan bola di dalam petak penalti.

Corak permainan Sarawak jelas berubah pada babak kedua dengan Terengganu lebih banyak mendominasi permainan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Usaha mereka berhasil apabila Ahmad Nordin Alias menguis masuk bola pada minit 50 berpunca dari sepakan percuma Gustavo Lopez.

Sarawak terus menderita apabila penyerang sensasi Terengganu merembat masuk gol ketiga pada minit ke-70.

Kekalahan terbaru itu meletakkan Sarawak kekal di tangga tercorot dan akan menutup pusingan pertama liga menentang Perak di Stadium Perak pada 21 Mei ini.