SK Merpati Jepang dan Dewan Datuk Merpati Jepang jadi tumpuan

0
TUNAI TANGGUNGJAWAB: Tun Taib mengundi di Pusat Mengundi Dewan Datuk Merpati Jepang di Kuching, semalam.

TUNAI TANGGUNGJAWAB: Tun Taib mengundi di Pusat Mengundi Dewan Datuk Merpati Jepang di Kuching, semalam.

KUCHING: Pusat Mengundi SK Merpati Jepang dan Dewan Datuk Merpati Jepang di DUN Satok antara yang menjadi tumpuan media pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada hari mengundi semalam.

Ia ekoran dua kenamaan membuang undi di dua saluran berkenaan iaitu Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Selain itu turut membuang undi di tempat sama calon BN di Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Adenan yang tiba di Pusat Mengundi SK Merpati Jepang pada jam 9.10 pagi ditemani isterinya Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

Meskipun Adenan merupakan calon BN di Tanjung Datu namun beliau merupakan pengundi di DUN Satok.

Sementara Tun Taib menunaikan tanggungjawabnya di Dewan Datuk Merpati Jepang pada jam 10.40 pagi.

Tun Taib ditemani isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib serta diiringi Abang Johari di pusat mengundi berkenaan.

Manakala Abang Johari membuang undi di SK Merpati Jepang sekitar jam 8.55 pagi bersama isterinya Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Pada PRN kali ini, Abang Johari yang juga penyandang kerusi Satok selama tujuh penggal pada kali ini akan berentap dalam pertandingan satu lawan satu bersama calon PKR Mohamed Salleh Shawkatali.

Menurut statistik SPR, jumlah daftar pemilih di DUN Satok adalah 13,550 pengundi.

UNDI: Adenan memasukkan kertas undi ke dalam peti undi semasa di Pusat Mengundi SK Merpati Jepang di Kuching, semalam.

UNDI: Adenan memasukkan kertas undi ke dalam peti undi semasa di Pusat Mengundi SK Merpati Jepang di Kuching, semalam.