Aibkan Jerman, Malaysia ke suku akhir

0

KUNSHAN (China): Malaysia menempah slot suku akhir Piala Thomas selepas mengalahkan Jerman 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Pusat Sukan Kunshan di sini semalam.

Kemenangan kedua selepas menang 4-1 ke atas England semalam sudah mengesahkan skuad negara menggalas cabaran ke pusingan kalah mati di peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan Korea Selatan hari ini adalah penting untuk menentukan juara kumpulan, sekali gus menjadi pasukan pilihan dalam undian suku akhir.

Seandainya muncul naib juara kumpulan, pasukan negara bakal berdepan dengan lawan yang lebih sukar pada saingan suku akhir.

Pada pertemuan dengan Jerman, Datuk Lee Chong Wei menyumbang mata pembukaan selepas menundukkan Kai Schaefer 21- 19, 21-15 sebelum beregu utama Goh V Shem/Tan Wee Kiong mengutip mata kedua dengan mengalahkan Richard Domke/Fabian Holzer 21-12, 21-11 dalam masa 26 minit.

Aksi pemain perseorangan kedua negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang tidak diturunkan pada perlawanan menentang England, ternyata tidak mengecewakan apabila mengutip mata ketiga buat skuad negara.

Iskandar, yang direhatkan semalam, menampilkan aksi menyakinkan apabila dengan mudah menumpaskan Lars Schaenzler 21-7, 21- 16.

Gandingan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong menebus kekecewaan semalam apabila menambah luka Jerman dengan menyingkirkan gandingan Mark Lamsfuss/Josche Zurwonne 21-15, 21-16.

Pemain peseorangan ketiga, Chong Wei Feng melengkapkan kemenangan Malaysia apabila menundukkan David Peng 21-9, 21-18. — Bernama