Jadikan SUKMA XVIII terbaik

0

Kontinjen Sarawak mampu muncul juara keseluruhan SUKMA buat kali keempat

// Oleh Borhaniza Ali Basah //

BERSEMANGAT: Dr Annuar (tengah) dan yang lain bersama atlet-atlet SUKMA Sarawak di Sibu kelmarin.

BERSEMANGAT: Dr Annuar (tengah) dan yang lain bersama atlet-atlet SUKMA Sarawak di Sibu kelmarin.

SIBU: Selaku tuan rumah, atlet-atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak digesa supaya menjadikan SUKMA XVIII di Sarawak kali ini sebagai kejohanan terbaik muncul juara buat kali keempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee berkata sejarah SUKMA Sarawak bermula dengan gemilang apabila menjuarai kejohanan tersebut sebanyak tiga kali.

“Kali pertama kita memenangi SUKMA pada 26 tahun lalu apabila kita menjadi tuan rumah (1990) dan seterusnya kita menjadi juara SUKMA kali kedua (1992) di Perak dan di Johor (1994).

“Oleh itu, kita berharap atlet- atlet kita dapat melakukan yang terbaik untuk SUKMA kali ini agar sekali lagi Sarawak merampas gelaran juara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘Meet and Greet SUKMA 2016’ bersama atlet-atlet badminton dan bola tampar di Wisma Sanyan di sini petang kelmarin.

Sementara itu, Dr Annuar juga berharap bahawa SUKMA XVIII menjadi yang terbaik dalam sejarah kejohanan SUKMA negara.

“Kita tunjukkan kepada mereka bahawa kita adalah terbaik terutamanya kepada rakan-rakan kita dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Brunei.

“Tunjukkan kepada mereka bagaimana kita dapat hidup harmoni dan bersatu padu walaupun kita berbeza kaum, agama dan bangsa,” katanya sambil berharap sukarelawan SUKMA XVIII dapat membantu Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan atlet-atlet Sarawak mencapai kemenangan.

Sementara itu, Penolong Pengarah MSNS Lucas Kalang Laeng ketika ditemui berkata acara tersebut bertujuan memberi galakan dan sokongan kepada atlet-atlet supaya lebih bersemangat menjalani latihan.

Beliau berkata, Sibu akan menjadi tuan rumah untuk acara bola tampar dan badminton pada temasya SUKMA XVIII ini.

“Acara hari ini, kita mengumpul pasukan bola tampar dan badminton dengan terdapat kira-kira 70 atlet.

“Kami juga menjemput atlet-atlet dari Mukah, Kapit dan Sarikei turut serta dalam pasukan SUKMA Sarawak,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap penduduk di kawasan sekitar dapat datang dan memberi sokongan padu kepada kontinjen Sarawak pada Sukma XVIII bermula 22 Julai depan.