KPJ komited jadikan Sabah dan Sarawak sebagai pusat pelancongan kesihatan

// Oleh Adriana Mroon Ambrose //

KOMITED: Hospital Pakar Kuching KPJ yang terletak di Tabuan Laru.

KOMITED: Hospital Pakar Kuching KPJ yang terletak di Tabuan Laru.

KUALA LUMPUR: Industri pelancongan perubatan di Malaysia mampu menyaingi beberapa negara jiran walaupun negara masih baharu berkecimpung dalam industri tersebut. Malah pertumbuhan kukuh dalam industri pelancongan kesihatan ini merupakan satu daripada program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencapai negara maju menjelang 2020.

Sehubungan itu, KPJ Healthcare Berhad komited untuk mempromosikan pelancongan kesihatan bagi dua hospital pakarnya iaitu Hospital Pakar Kuching (KPJ Kuching) dan Hospital Pakar Sabah (KPJ Kota Sabah).

Pengarah Eksekutif Hospital-Hospital KPJ Malaysia Timur, Mah Lai Heng berkata, KPJ Kuching akan membuka perkhidmatannya kepada pelancong dari China selepas mendapat sambutan hangat daripada pelancong Indonesia dari Kalimantan Barat, Jakarta, Bandung dan Surabaya.

“Sambutan baik ini disifatkan sebagai respons positif daripada pengunjung China yang telah mendapatkan rawatan dan berpuas hati dengan layanan, rawatan serta infrastruktur yang disediakan.

“Ini secara tidak langsung membuatkan mereka memberi maklum balas positif selain bertindak sebagai ejen kami dengan menyampaikan kepakaran yang ditawarkan KPJ Kuching kepada orang lain,” katanya ketika ditemu bual wartawan Utusan Borneo di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Lai Heng, bagi Sabah pula, pihaknya bercadang untuk meluaskan pasaran buat pelancong luar khususnya negara-negara Asia berhampiran Sabah untuk mendapatkan perkhidmatan di KPJ Kota Kinabalu.

“Di Kota Kinabalu, kami menerima pelancong dari Korea, China dan Jepun. Sasaran kami adalah untuk menyediakan rawatan pakar yang mereka perlukan. Dengan adanya penerbangan secara terus dari Hong Kong dan Jakarta yang beroperasi baru-baru ini dan termasuk penerbangan lain yang mendarat di Sabah, kami harap dapat menarik minat pelancong asing untuk mendapatkan rawatan di sini,” katanya.

Ketibaan pelancong antarabangsa merekodkan peningkatan dua digit sebanyak 21.6 peratus berbanding tempoh Januari hingga Februari 2015 dan pada bulan Februari sahaja, Sabah menerima sebanyak 54 penerbangan dari China.

Pelancong antarabangsa dari China, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan menjadi penyumbang tertinggi dengan rekod ketibaan sebanyak 57.9 peratus atau 115,092 daripada jumlah keseluruhan ketibaan antarabangsa jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini sekali gus menjadikan industri pelancongan perubatan sebagai produk pelancongan baharu negara.

Lai Heng turut mendedahkan bahawa sebahagian daripada doktor di Hospital Pakar KPJ Sabah terdiri daripada doktor-doktor tempatan yang membolehkan pihak hospital memahami keadaan serta suasana tempatan.

“Pelancongan kesihatan merupakan pasaran yang semakin berkembang maju di Sabah dan berpotensi menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara,” ujarnya.

Katanya, buat masa ini, jumlah pelancong yang berkunjung ke Hospital Pakar KPJ Sabah masih agak rendah namun jumlahnya dijangka bakal meningkat dari semasa ke semasa.

Sebagai rekod, Hospital Pakar KPJ Sabah mula beroperasi 2013 tahun lalu dan terletak di Kota Kinabalu. Di samping itu, untuk makluman ramai, KPJ Kota Kinabalu juga adalah satu-satunya hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan onkologi di Sabah selain rawatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Pergigian, Ortopedik dan lain-lain.

Terdapat dua buah hospital di Kota Kinabalu termasuk Hospital Pakar KPJ Damai yang merupakan hospital swasta pertama di Sabah yang memperoleh sijil akreditasi daripada Malaysian Society For Quality In Health (MSQH).

“Kedua-dua hospital KPJ Kuching dan KPJ Kota Kinabalu memiliki infrastruktur dan kecekapan kos dalam sistem penjagaan kesihatan untuk bersaing dengan penyedia-penyedia penjagaan kesihatan serantau dan antarabangsa.

“Kami boleh dibandingkan dengan hospital-hospital di rantau Asia termasuk yang ada di Singapura. Apa yang mereka ada, kami juga sediakan di sini,” kata Lai Heng

Sementara itu, Hospital Pakar Kuching KPJ yang terletak di Tabuan Laru pula mula beroperasi dengan unit kemalangan dan kecemasan serta lima konsultan sejak awal Disember 2004 telah berkembang apabila kini menyediakan wad orang kenamaan (VIP) di samping dilengkapi kemudahan serba moden. KPJ turut mempunyai sebuah lagi Hospital Pakar yang beroperasi di Sibu.

Tambah Lai Heng lagi, Hospital Pakar Kuching KPJ dalam proses untuk membangunkan hospital baharu dengan kapasiti 300 buah katil pesakit. Hospital yang dijangka siap pada tahun 2017 itu memenuhi permintaan yang meningkat dalam industri pelancongan kesihatan.

Sebagai syarikat korporat yang bertanggungjawab, KPJ turut mendekati komuniti di akar umbi menerusi program sesi saringan kesihatan awam, seminar kesihatan dan pelbagai aktiviti lain.

Di Kuching, KPJ terus berusaha mendekati golongan yang kurang berkemampuan dalam komuniti melalui inisiatif penubuhan Klinik Wakaf An-Nur (KWAN) yang beroperasi di Satok dan Samariang.

What do you think of this story?
  • Interesting (100%)
  • Angry (0%)
  • Sad (0%)
  • Nothing (0%)
  • Great (0%)
Print Friendly

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of