Skim perkhidmatan guru perlu diperbaiki lagi: TPM

0

Pujian dan pengiktirafan semasa Hari Guru tidak memadai, sebaliknya kebajikan perlu diberi perhatian

TERIMA KASIH CIKGU: Ahmad Zahid selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu, semalam. Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman (dua kiri), Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua kanan) dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan (kiri). — Gambar Bernama

TERIMA KASIH CIKGU: Ahmad Zahid selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu, semalam. Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman (dua kiri), Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua kanan) dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan (kiri). — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Kementerian Pendidikan memberi perhatian serius kepada skim perkhidmatan guru sedia ada bagi memastikan skim perkhidmatan profesion itu menjadi lebih baik.

Timbalan perdana menteri berkata pemberian pelbagai bentuk pujian dan pengiktirafan kepada golongan guru melalui sambutan Hari Guru setiap tahun tidak memadai dalam menghargai sumbangan golongan pendidik.

Sebaliknya kebajikan mereka perlu diberi perhatian dengan memberi kepedulian kepada skim perkhidmatan golongan guru, katanya.

“Saya yakin dengan menteri pendidikan sekarang yang berlatarbelakangkan guru, sila lakukan sesuatu yang terbaik untuk rakan-rakan guru,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 di kampus Universiti Malaysia Sabah di sini semalam.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan dua timbalannya, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pendidikan Sabah Maimunah Suhaibul.

Beliau yakin penambahbaikan skim sedia ada boleh dilakukan apabila ekonomi negara pulih kelak.

Ahmad Zahid juga menyarankan agar Kementerian Pendidikan mula melihat secara serius kurikulum silang budaya sebagai subjek di peringkat sekolah rendah dan prasekolah bagi mewujudkan persefahaman budaya, agama dan kaum yang lebih mendalam dalam kalangan pelajar berbilang kaum di negara ini.

Katanya melalui subjek silang budaya yang dididik daripada peringkat persekolahan rendah itu, semangat perpaduan sebenar dapat dipupuk dan dimantapkan dalam kalangan rakyat negara ini.

Ahmad Zahid berkata kajian indeks perpaduan yang dilaksanakan kementerian pendidikan pada tahun 2014 mendapati indeks interaksi antara guru dan pelajar berada pada tahap 6.9 yang bermaksud interaksi antara guru dan  murid adalah erat namun keupayaan guru dan murid untuk menerima perbezaan kaum, budaya dan agama masih pada tahap rendah.

“Saya menyarankan kementerian pendidikan mula melihat dengan serius kurikulum silang budaya diberi fokus bagi mewujudkan perpaduan yang sebenarnya, bukan hanya dalam kelas tetapi juga di luar sekolah,” katanya.

Mengambil contoh hasil pemerhatian beliau sendiri di universiti, Ahmad Zahid berkata interaksi antara kaum, budaya dan agama di institusi pengajian tinggi masih rendah dengan setiap kaum lebih cenderung dan selesa bercampur dengan kaum masing-masing.

Beliau juga yakin melalui pelbagai transformasi dalam sistem pendidikan negara, ditambah dengan komitmen tinggi para guru, tenaga kerja mahir tempatan dapat mengisi 1.5 juta peluang pekerjaan yang akan diwujudkan di negara ini menjelang tahun 2020.

Sistem pendidikan hari ini juga mendapat pengiktirafan antarabangsa atas kejayaan Malaysia meningkatkan kadar literasi pelajar sekolah rendah kepada 99 peratus dan kemasukan ke sekolah rendah ke tahap 97.9 peratus, katanya. — Bernama