Piala Belia Samarahan: Kickalob FC lakar kejutan

0
DIASAK: Penyerang Yayasan Sarawak/Sanjung Etika (tengah) diasak dua pertahanan Team Kickalob FC pada aksi pertama peringkat Kumpulan A di Padang MDS, Kampung Sindang Baru Sabtu lalu.

DIASAK: Penyerang Yayasan Sarawak/Sanjung Etika (tengah) diasak dua pertahanan Team Kickalob FC pada aksi pertama peringkat Kumpulan A di Padang MDS, Kampung Sindang Baru Sabtu lalu.

KUCHING: Kempen Piala Belia Samarahan 2016 yang bermula Sabtu lalu menyaksikan pertembungan sengit membabitkan enam pasukan yang mengambil bahagian.

Paling menarik kejutan dilakar wakil dari Kuching, Team Kickalob FC dalam dua perlawanan Kumpulan A.

Pasukan kendalian Daud Aba itu berjaya menumpaskan Yayasan Sarawak/Sanjung Etika dengan kemenangan 2-1 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat (1-1) dalam aksi berlangsung di Padang Majlis Daerah Samarahan (MDS), Kampung Sindang Baru pada Sabtu (14 Mei).

Namun, prestasi cemerlang itu gagal diulangi pada Ahad (15 Mei) menyaksikan mereka tewas tipis (1-0) di tangan Kapaku FC juga di gelanggang sama.

Aksi dalam Kumpulan B tidak kurang sengitnya dengan Ocean Eagle FC mencuri tumpuan peminat.

Meskipun tunduk 1-0 di tangan Sambir Bistari pada Sabtu lalu di Kompleks Sukan Asajaya, pasukan pimpinan Issnu Dollah berjaya bangkit meraih kemenangan pada aksi kedua (15 Mei) dengan mengatasi RG4 FC dengan 3-0.

“Kemenangan ini membuka laluan kepada Ocean Eagle FC layak ke separuh akhir,” kata Issnu sambil mengharapkan Sambir Bistari dapat mengatasi RG4 pada perlawanan berlangsung 21 Mei ini.