Skuad B19 tahun Sarawak berjaya mencuri satu mata

0

KUCHING: Skuad bawah 19 tahun Sarawak berjaya mencuri satu mata selepas mengikat Sabah 1-1 dalam aksi Piala Belia 2016 di Stadium Penampang, Kota Kinabalu pada Ahad lalu.

Ketinggalan seawal minit kelapan selepas Sabah dihadiahkan sepakan penalti, Sarawak bangkit menerusi jaringan Micheal pada minit ke-90.

Pemain Sarawak harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan peluang mengutip mata penuh selepas Sabah hanya bermain dengan 10 pemain.

Beberapa peluang keemasan terutamanya pada babak kedua gagal disudahkan dengan baik oleh jentera serangan pelawat.

Begitupun, penantian anak-anak didik Pengiran Bala berakhir selepas percubaan dari jarak 25 meter oleh Micheal berjaya menggegar gawang skuad negeri di bawah bayu itu.

Pengurus Pasukan, Azman Mohd Edi berkata perlawanan itu sepatutnya menjadi milik Sarawak namun mereka gagal memanfaatkan banyak peluang untuk menjaringkan gol meskipun Sabah bermain dengan 10 pemain sahaja.

“Kita sepatutnya membawa pulang tiga mata penuh.

Pemain-pemain menunjukkan kualiti dan banyak memberi tekanan terhadap Sabah,” katanya.

Menurut Azman, pemainpemainnya menunjukkan semangat melawan yang tinggi untuk memburu gol namun dihampakan oleh penyudah yang tumpul.

Sarawak kini menduduki tangga kesembilan dengan mengumpul enam mata daripada 13 perlawanan.