92 badang rebut Mr Malaysia

0

Sebanyak 16 kontinjen mengesahkan penyertaan berentap kejohanan edisi ke-47

// Oleh Florence Nervyn //

JAWATANKUASA: Kamaruzaman (dua kiri, duduk), Chia (tiga kiri, duduk) bersama ahli jawatankuasa dan peserta kursus pengadil kejohanan bina badan pada sidang media semalam.

JAWATANKUASA: Kamaruzaman (dua kiri, duduk), Chia (tiga kiri, duduk) bersama ahli jawatankuasa dan peserta kursus pengadil kejohanan bina badan pada sidang media semalam.

SIBU: Seramai 92 orang badang dari 16 kontinjen seluruh negara mengesahkan penyertaan merebut gelaran Mr Malaysia edisi ke-47 pada 20 hingga 22 Mei di sini.

Ahli bina badan Sarawak terbaik seperti Fong Hui Kong dan Farrokh Ibtisam Ting dinobatkan Juara Antara Juara Kejohanan Bina Badan Mr Giant 2016 dijangka mengambil bahagian pada kejohanan yang disertai kontinjen dari Semenanjung Malaysia dalam 12 kategori dipertandingkan.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia, Kamaruzaman Kadir berkata Sarawak pernah dipilih dua kali menjadi tuan rumah kejohanan Mr Malaysia dan Sibu pertama kalinya dipilih selepas Kuching dan Miri.

Kejohanan Mr Malaysia kali ini menyaksikan kontinjen Selangor dan Sabah masing-masing dengan 12 peserta diikuti Sarawak (11), Polis Diraja Malaysia (9), Kuala Lumpur (8), Angkatan Tentera Malaysia (7), Johor dan Pulau Pinang (6), Negeri Sembilan, Pahang, Kelatan dan Melaka (4), Putrajaya (3), Labuan dan Perak (2).

Kategori-kategori yang dipertandingkan adalah dua kategori Junior (70kg ke bawah dan 70kg ke atas), Master (45 tahun ke atas), Light Flyweight, Flyweight, Bantamweight, Lightweight, Welterweight, Light Middleweight, Middleweight, Light Heavyweight dan Heavyweight.

Kamaruzaman berkata, pemenang setiap kategori akan dipilih mewakili Malaysia pada Kejohanan Bina Badan Mr Asia di Bhutan pada September dan Kejohanan Bina Badan Mr World pada November depan.

“Bagaimanapun, bukan semua terus layak mengambil bahagian ke peringkat antarabangsa dan pemenang perlu menjalani peringkat pemilihan memastikan mereka mempunyai kelayakan diperlukan untuk berentap dengan ahli bina badan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Bahagian Sibu (SDBWA) Chia berkata, pihaknya berbangga dipilih menjadi penganjur kejohanan bina badan berprestij itu pada edisi tahun ini.

Tambah beliau, penganjuran kejohanan bina badan turut mendapat kerjasama Persekutuan Bina Badan Malaysia dan Persatuan Bina Badan Sarawak.

“Kita akan mengadakan majlis makan malam mengalualukan peserta kejohanan pada 20 Mei, jam 7 malam. Majlis akan dihadiri oleh tetamu kehormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Tiong Thai King.

“Malam akhir Kejohanan Mr Malaysia akan disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Presiden SDBWA Ling Tung Hock, Setiausaha SDBWA Martin Voon dan Pengurus Jualan dan Pemasaran Hotel Kingwood, Dixon Chiu.