Enam bulan sekali

1

 

Oleh Jessica Jawing dan Agnes Tugong//

LENGKAP SUDAH: Adenan bersama menteri penuh dan menteri muda yang dilantik, sekali gus melengkapkan barisan anggota kabinet yang baharu pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

LENGKAP SUDAH: Adenan bersama menteri penuh dan menteri muda yang dilantik, sekali gus melengkapkan barisan anggota kabinet yang baharu pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) seramai 72 orang diwajib mengemukakan kad laporan masing-masing enam bulan sekali, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Menurutnya, laporan itu akan disemak dan dinilai oleh beliau sendiri bagi memastikan semua wakil rakyat BN yang baharu dipilih majoriti rakyat baru-baru ini melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Keputusan pertama kita ambil untuk menilai prestasi ADUN-ADUN kita adalah dengan mewajibkan mereka menghantar laporan kerja mereka setiap enam bulan.

“Laporan ini turut melibatkan Menteri dan Menteri Muda termasuk saya sendiri sebagai Ketua Menteri,” katanya pada sidang media semasa mengumumkan barisan menteri muda kabinet negeri di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, tiga timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg serta menteri-menteri lain.

Adenan sebelum itu menghadiri majlis angkat sumpah bagi 18 menteri muda dan seorang Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) di Dewan Lapau, bangunan DUN.

Majlis angkat sumpah itu melengkapkan barisan kabinet negeri susulan angkat sumpah menteri penuh pada 13 Mei lepas.

Mengulas mengenainya, Adenan berkata kabinet beliau dianggotai mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

“Ini adalah barisan pasukan saya dan saya percaya ia barisan kabinet yang bukan sahaja kuat tetapi juga berpengalaman.

“Kita telah melengkapkan semua iaitu terdiri daripada Ketua Menteri dan 10 menteri bagi kabinet negeri,” katanya.

Adenan berkata, menurut Perlembagaan negeri kabinet tidak boleh kurang daripada empat atau lebih daripada 10 menteri.

“Jika ada keperluan dengan keadaan yang berlaku ada wajarnya (pindaan Perlembagaan kabinet) terutamanya dengan pertambahan kerusi daripada 71 kepada 82 kerusi DUN, namun tidak ada keperluan sehingga kini,” jelasnya.

Minggu lepas, Adenan mengumumkan sembilan menteri penuh kabinet dengan tiga timbalan ketua menteri. Barisan menteri muda pula menyaksikan pelantikan enam muka baharu.

Enam muka baharu terdiri daripada ADUN Nangka Dr Annuar Rapa’ee sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Penyelidikan Sains dan Bioteknologi), ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi pula Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi), manakala ADUN Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sebagai Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga, yang mana ketiga-tiganya daripada PBB.

Seorang lagi muka baharu daripada PBB ialah Dr Abdul Rahman Ismail selaki Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat.

Manakala, ADUN Batang Ai, Malcolm Mussen Lamoh daripada PRS dilantik sebagai Menteri Muda Pertanian dan ADUN Marudi Datu Dr Penguang Manggil (SPDP) dilantik sebagai Menteri Muda Kerajaan Tempatan.

Bagaimanapun, seorang muka baharu, ADUN Mulu Dato Gerawat Gala dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) menggantikan Datuk Roland Sagah Wee Inn (PBB) yang dilantik sebagai Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air).

Sementara bagi mereka yang kekal, ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai (PRS) dilantik sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Menteri Muda Pelancongan (Kesenian dan Kebudayaan) dan ADUN Belaga Liwan Lagang (PRS) dilantik sebagai Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan (Pengangkutan Sungai dan Keselamatan).

Bagi PBB, mereka yang kekal ialah ADUN Gedong Datuk Mohd Naroden Majais (PBB) yang dilantik sebagai Menteri Muda Perancangan Sumber merangkap Menteri Muda Pembangunan Usahawan, ADUN Kuala Rajang Datu Len Talif Salleh sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan) merangkap Menteri Muda Alam Sekitar.

Selain itu, turut kekal dilantik dari wakil rakyat PBB, ADUN Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai Menteri Muda Perumahan merangkap Menteri Muda Belia dan Sukan, ADUN Jepak Datuk Talib Zulpilip sebagai Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur merangkap Menteri Muda Urbanisasi dan ADUN Sebuyau Datuk Julaihi Narawi dilantik sebagai Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Pedalaman) dan Perladangan merangkap Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi).

Bagi SUPP pula menteri mudanya diwakili ADUN Simanggang Datuk Francis Harden Hollis yang dilantik sebagai Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Pesisir) dan Perikanan dan ADUN Senadin Datuk Lee Kim Shin sebagai Menteri Muda Pengangkutan Darat dan Udara dan Keselamatan merangkap Menteri Muda Pelancongan.

Barisan kabinet itu juga menyaksikan dua wakil rakyat yang bertanding atas tiket calon langsung sebagai Menteri Muda, iaitu Datuk Dr Jerip Susil sebagai Menteri Muda Kesihatan Awam.

Manakala, Rosey Yunus yang sebelum ini Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembagunan Keluarga dilantik sebagai Menteri Muda Perpaduan.

Dr Jerip yang juga bekas pemimpin UPP dan Rosey, bekas pemimpin Teras sebelum ini meletak jawatan daripada parti masing-masing bagi membolehkan mereka bertanding atas tiket calon langsung BN pada PRN11 lepas.

Pada penggal lalu, kabinet Sarawak mempunyai 19 menteri muda dengan enam daripadanya mengumumkan persaraan dan digugurkan pada pilihan raya lalu.

Antara yang tidak bertanding semula pada PRN lepas, Datuk Daud Abdul Rahman dan Datuk Gramong Juna dan Robert Lawson Chuat, semuanya daripada PBB.

Dua bekas menteri muda yang bertanding dan menang PRN lalu namun tidak dilantik semula sebagai Menteri Muda ialah Datuk Mong Dagang (Bukit Begunan) dan Datuk Abdul Wahab Aziz (Kalaka), masing-masing dari PRS dan PBB.

Daripada barisan menteri muda itu, 10 adalah daripada PBB manakala PRS sama seperti penggal lepas iaitu dengan tiga jawatan, manakala SUPP (dua) serta SPDP (satu) sementara tiga adalah calon langsung.