Gerawat catat sejarah tersendiri Orang Ulu

0

Oleh Patricia Gari//

DILANTIK: Gerawat menerima watikah pelantikan sebagai Timbalan Speaker DUN daripada Tun Taib.

DILANTIK: Gerawat menerima watikah pelantikan sebagai Timbalan Speaker DUN daripada Tun Taib.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) mengganti-kan Datuk Roland Sagah yang menyandang jawatan itu sejak 2011.

Sementara itu, Roland dilantik sebagai Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) di bawah Kementerian Kemudahan Awam diterajui Datuk Dr Stephen Rundi.

Pelantikan Gerawat sebagai Timbalan Speaker DUN melakar sejarah tersendiri kerana beliau merupakan Orang Ulu pertama menyandang jawatan penting itu.

Selain itu, beliau antara muka baharu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas memenangi kerusi Mulu sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Ne-geri (PRN) pada 7 Mei lalu.

Gerawat yang ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Menteri-Menteri Muda Negeri Sarawak semalam berkata, beliau akan melakukan yang terbaik untuk melaksanakan tanggungjawab itu dan mengakui banyak masih perlu dipe-lajari.

“Kalau saya tidak silap, saya adalah Orang Ulu pertama dilantik sebagai Timbalan Speaker (DUN) dan ini merupakan penghormatan paling tinggi kepada saya khasnya dan komuniti Orang Ulu amnya.

“Pada masa sama sudah tentu ini satu tanggung-jawab hebat. Sesuatu yang tidak pernah saya jangka tetapi memandangkan tugas ini diamanah kepada saya, saya akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada pucuk kepimpinan negeri terutama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kerana menaruh kepercayaan tinggi kepadanya menyandang jawatan itu.

“Saya percaya dengan bantuan Tuhan, saya akan melaksanakan tugas itu dengan baik,” katanya.

Gerawat, 59, seorang pe-guam yang berpengalaman sebagai rakan kongsi ZICOlaw & Co, sebuah pejabat bersekutu Zaid Ibrahim & Co (ahli ZICOlaw).

Beliau juga mempunyai pengalaman dalam bidang komersial sepanjang 16 tahun kerjaya dalam industri minyak dan gas melalui pengendalian serta penglibatan langsungnya dalam penyeliaan pelbagai rundingan, komersial, dokumentasi dan menyusun atur urus niaga.

Sebelum menyertai Zaid Ibrahim & Co, Gerawat merupakan peguam am untuk perniagaan syarikat multinasional Malaysia yang me-laporkan kepada pengerusi negara.

Portfolionya meliputi aspek perundangan perniagaan, huluan, gas, penapisan, pemasaran dan kimia.

Sebagai tambahan kepada portfolio perundangannya, Gerawat juga memegang jawatan ahli lembaga beberapa syarikat yang beroperasi di Malaysia dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Negara untuk syarikat multinational di Malaysia.

Sementara itu Sagah memberitahu bahawa pelantikannya sebagai menteri muda akan memberi pe-luang kepadanya memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat bukan sahaja di konstituensinya Tarat tetapi seluruh Sarawak.

“Pertama kali saya meng-ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana memberi keyakinan penuh kepada saya menyandang jawatan ini.

“Tidak lupa juga kepada rakyat di konstituensi saya kerana memberi sokongan kepada saya untuk kembali dalam DUN,” katanya.

Sagah yang sudah menjadi ADUN Tarat untuk penggal kelima menambah, akan berusaha sebaik mungkin berkhidmat kepada rakyat negeri ini.

Gerawat dan Sagah bersama 17 lagi menteri muda Sarawak mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Enam daripada mereka merupakan muka baharu iaitu Dr Abdul Rahman Junaidi (Pantai Damai), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang), Dr Annuar Rapa’ee (Nangka), Datu Dr Pengguang Manggil (Marudi), Malcom Mussen Lamoh (Batang Ai) dan Dr Abdul Rahman Ismail (Bukit Kota).

Manakala 11 lagi merupakan menteri muda sedia ada iaitu Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Lee Kim Shin, Datuk Mohd Naroden Majais, Datuk John Sikie Tayai, Datuk Talib Zulpilip, Datuk Julaihi Narawi, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Dr Jerip Susil, Liwan Lagang, Rosey Yunus dan Datu Len Talif Salleh.

Manakala Datuk Abdul Wahab Aziz dan Datuk Mong Dagang tidak dilantik semula.