Liga Super: David lepasi ujian pertama dengan penuh bergaya

0
PENUH BERMAKNA: Makeche meraikan jaringan pertama pada aksi Liga Super menentang Perak di Stadium Negeri, Petra Jaya kelmarin. — Gambar Bernama

PENUH BERMAKNA: Makeche meraikan jaringan pertama pada aksi Liga Super menentang Perak di Stadium Negeri, Petra Jaya kelmarin. — Gambar Bernama

KUCHING: Pengendali sementara Sarawak, David Usop melepasi ujian pertama dengan penuh bergaya susulan kejayaan menundukkan Perak 3-2 dalam aksi Liga Super 2016 di Stadium Negeri, Petra Jaya malam kelmarin.

Ia kemenangan pertama Sarawak di laman sendiri selepas cubaan sebanyak empat kali di bawah kendalian bekas jurulatih Datuk K Rajagobal menemui kegagalan.

Apa yang pasti, kemenangan kelmarin turut melayakkan Sarawak ke kempen Piala Malaysia 2016 selepas satu ketika seakan hilang harapan kerana menduduki tangga tercorot liga.

“Saya amat kagum dengan semangat ditunjukkan pemain.

Mereka telah menunjukkan persefahaman yang sangat baik,” katanya mengulas perlawanan itu kelmarin.

“Namun kunci utama kemenangan kita adalah semangat berpasukan ditunjukkan setiap pemain dan ini dibuktikan dengan gol-gol yang dijaringkan di mana ia berpunca dari komitmen semua pemain.

” Menurutnya, pemain telah mempamerkan disiplin yang amat tinggi mengekang asakan pemain Perak walaupun akui masih ada kesilapan yang perlu diperbaiki untuk memastikan rentak kemenangan diteruskan pada perlawanan seterusnya.

Tambah beliau, latihan intensif selama dua minggu nyata membuahkan hasil di mana pemain menunjukkan semangat yang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan.

Penyerang import Makeche Ndumba membuka jaringan untuk Sarawak pada minit 10 selepas menyambar bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Perak, Muhammad Syazani berpunca dari percubaan rendah K Thanaraj.

Kegembiraan Sarawak tidak lama apabila pemain Perak Mohamad Fazrul Hazli menanduk masuk bola pada minit ke-25 untuk menyamakan kedudukan.

Sarawak kembali di hadapan selepas Gilmar Jose Da Silva Filho menanduk masuk bola sepakan percuma Junior Aparecido pada minit ke-48.

Kedudukan kembali terikat selepas Perak dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan tuan rumah, Davide Grassi tertampan bola di dalam kotak penalti.

Penyerang import Perak, Elias Fernandes De Oliveira tidak mempersia-siakan peluang untuk mengikat kedudukan 2-2 pada minit 70.

Gilmar sekali lagi muncul wira Sarawak dengan menanduk masuk bola pada minit ke- 80 selepas penjaga gol Perak gagal mengeluarkan dengan kemas bola hantaran lintang Tommy Mawat.

Sarawak kini menduduki tangga ke-10 dengan mengumpul sembilan mata selepas berakhir pusingan pertama.

Skuad itu akan memulakan pusingan kedua menentang Perak di Stadium Perak pada Sabtu, 21 Mei ini.