Eling ke tali gantung

0

Oleh Reno Benjamin//

GANTUNG: Eling (dua kiri) diiringi keluar dari Mahkamah Tinggi setelah dijatuhkan hukuman gantung atas tuduhan membunuh.

GANTUNG: Eling (dua kiri) diiringi keluar dari Mahkamah Tinggi setelah dijatuhkan hukuman gantung atas tuduhan membunuh.

SIBU: Mahkamah Tinggi semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki berusia 44 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh.

Hakim Supang Lian ketika menjatuhkan hukuman memberitahu, pihak pendakwa raya telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh.

“Selepas mengambil kira semua bukti, mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes yang dikemukakan,” ujarnya.

Tertuduh, Eling Jambun, didakwa menyebabkan kematian Uyang Jubong, dengan menembak mangsa di bahagian dada pada 30 November 2013, antara jam 4 petang hingga 5 petang di tepi jalan Camp Street menuju Sekolah Kebangsaan Setapang, Nanga Gaat, Kapit.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji sebelum itu memberitahu, berlaku pertengkaran antara tertuduh dengan seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Jingong Karong.

Melihat pertengkaran itu, mangsa iaitu Uyang telah menghampiri kedua-dua mereka dan cuba untuk meleraikan pergaduhan tersebut.

Tidak puas hati dengan tindakan mangsa, Eling telah mengacukan senapang ke arah mangsa dan menembaknya di bahagian dada, menyebabkan mangsa jatuh dan mati.

Pihak pendakwa juga telah membuktikan luka tembakan di bahagian dada itu menjadi punca kepada kematian mangsa.