Pasangan kekasih dirompak empat lelaki bermotosikal

0

KUCHING: Sepasang kekasih menempuh detik cemas apabila dirompak sekumpulan lelaki bermotosikal ketika melalui hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Difahamkan, pasangan berkenaan semasa kejadian dalam perjalanan pulang dari Bandar Baharu Semariang selepas berjumpa dengan rakan-rakan sekitar jam 1.30 pagi.

Menurut sumber, setiba di hadapan DUN, mereka dihampiri empat lelaki menunggang dua motosikal sebelum seorang daripadanya bertindak memecahkan cermin kereta jenis Alza dinaiki mereka.

“Suspek selepas memecahkan cermin tersebut kemudian mengarahkan mangsa memberhentikan keretanya.

“Sebaik sahaja kereta diberhenti, suspek bersenjatakan parang itu kemudian mengarahkan kedua-dua mangsa menyerahkan barang berharga sebelum beredar dari tempat kejadian,” kata sumber.

Pasangan terbabit yang trauma dengan insiden tersebut kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai ketika mengesahkan kejadian tersebut memberitahu antara barang milik mangsa dilapor dilari suspek ialah wang tunai serta dua unit telefon pintar.

“Hasil siasatan mendapati suspek seramai empat orang dan bersenjata dua bilah parang, bagaimanapun semua mereka menggunakan topi keledar penuh dan tidak dapat dicam.

“Kami akan berusaha menjejaki suspek dan berharap agar orang awa mempunyai maklumat dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Kes tersebut di siasat di bawah seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.