Ratusan ikan mati terapung di Sungai Limbang

0
TERAPUNG: Pekerja kilang papan di Jalan Buangsiul menunjukkan bangkai ikan jenis lawang yang terapung di Sungai Limbang.

TERAPUNG: Pekerja kilang papan di Jalan Buangsiul menunjukkan bangkai ikan jenis lawang yang terapung di Sungai Limbang.

LIMBANG: Ratusan ikan ditemui mati dan terapung di sepanjang Sungai Limbang hingga ke Muara Sungai Limbang di sini sejak Khamis lepas, mencetuskan tanda tanya orang ramai.

Seorang pekerja syarikat perkilangan yang terletak di Jalan Buangsiul dekat sini Mohd Azlan, 28, berkata beberapa jenis ikan sungai seperti lawang (boris) dilihat terapung di sungai itu sejak awal pagi Khamis lepas.

“Pada mulanya hanya beberapa ekor saja yang mati tapi semalam (kelmarin) makin banyak dan memenuhi Sungai Limbang sekitar jam 7 pagi hingga 8 pagi,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata, ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang menjual ikan berkenaan di pasar.

Beliau mendakwa bangkai ikan dilihat terapung sejak kelmarin tanpa mengetahui punca sebenar kejadian itu.

“Kami mahu pihak berkaitan menjalankan siasatan kerana ia akan menjejaskan hidupan sungai sekiranya perkara ini berulang lagi,” katanya.

Seorang lagi pekerja Ling Jale 48, memberitahu dianggarkan sekitar 200 hingga 300 ikan ditemui terapung di Sungai Limbang.

Bagaimanapun bangkai ikan berkenaan semakin berkurangan semalam selepas dihanyutkan arus.

Beliau menjelaskan ikan yang hanyut dari hulu sungai ke Muara Limbang disyaki akibat terkena racun dari ladang kelapa sawit yang melimpah ke Sungai Limbang selepas hujan lebat beberapa hari lalu .