Sabah pertimbang pemburuan bermusim

0
PERASMIAN: Masidi (kiri) merasmikan Hari Alam Sekitar Yayasan Sime Darby di University College Sabah Foundation, semalam. — Gambar Bernama

PERASMIAN: Masidi (kiri) merasmikan Hari Alam Sekitar Yayasan Sime Darby di University College Sabah Foundation, semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan pemburuan bermusim di negeri ini sebagai pendekatan untuk memelihara alam sekitar, dan pada masa sama tidak mengorbankan tradisi berburu masyarakat setempat.

Menteri berkenaan, Datuk Masidi Manjun berkata pendekatan itu, yang membolehkan haiwan liar terus membiak, menyamai konsep ‘tagal’ di kebanyakan sungai di negeri ini, yang menegah aktiviti perikanan bagi tempoh tertentu.

Beliau turut menjelaskan bahawa masyarakat, terutamanya komuniti seperti kaum Murut di pedalaman Sabah, perlu memahami bahawa sesetengah aktiviti rekreasi tradisional tidak boleh dilakukan dengan berlebih-lebihan, khususnya bagi tujuan perdagangan.

“Di Nabawan, kaum Murut memburu haiwan selama beberapa generasi dan mereka mendakwa bahawa mereka perlu berburu untuk mencukupkan belanja.

“Sungguhpun berburu sebagai rekreasi tradisional dibenarkan, tetapi pada masa sama, ia tidak boleh dilakukan dengan menamatkan riwayat hidupan liar yang kita ada di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Alam Sekitar Yayasan Sime Darby (YSD) di University College Sabah Foundation (UCSF) di sini semalam.

Masidi berkata usaha pemeliharaan alam sekitar di negeri ini agak mengecewakan sungguhpun berjuta-juta ringgit dibelanjakan sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Saya tidak mengatakan bahawa saya tidak bersungguh-sungguh dalam usaha pemeliharaan ini. Saya hanya mahu menghuraikan tentang cabaran getir yang kadang-kadang kami perlu depani,” katanya.

Menurut Masidi, perlakuan manusia terbukti menjadi tugas yang amat mencabar bagi kerajaan.

“Ada antara orang kita sendiri yang tidak yakin dengan kami dan sukar untuk meyakinkan mereka berkaitan pemeliharan alam sekitar bagi kesejahteraan serta manfaat anak mereka.

“Bagaimanapun kami sering melibatkan mereka dalam perbincangan bersama pemimpin komuniti dan kami harap suatu masa nanti, kami akan dapat meyakinkan mereka,” katanya.

Sementara itu, Anggota Majlis Pengelola YSD Caroline Christine Russell, dalam ucapannya, berkata YSD berusaha bersungguh-sungguh dalam inisiatif pemeliharaan alam sekitar sejak 2009 dengan membelanjakan RM81 juta untuk membiayai projek pemeliharaan alam sekitar di Sabah. — Bernama