‘HoB di Atrium’ dilancar sebagai langkah pupuk kesedaran orang ramai

0
CAPAI VISI HoB: Musa menandatangani plak Atrium HoB sambil disaksikan oleh Sam Mannan dan tetamu.

CAPAI VISI HoB: Musa menandatangani plak Atrium HoB sambil disaksikan oleh Sam Mannan dan tetamu.

SANDAKAN: Pusat Maklumat Heart of Borneo (HoB) Jabatan Perhutanan Sabah yang dikenali sebagai ‘HoB di Atrium’ akan menjadi ‘pintu masuk’ kepada pelbagai inisiatif pemuliharaan lain di negeri ini.

Ia juga akan menjadi sebagai kemudahan pendidikan alam sekitar untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pentingnya pemuliharaan hutan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, selain pameran interaktif dan tafsiran seperti kios dan poster, atrium ini juga memaparkan beberapa pencapaian utama Jabatan Perhutanan Sabah dalam pelaksanaan HoB, termasuk kepelbagaian flora, fauna dan landskap di negeri ini.

Malah katanya, kebanyakan maklumat dalam 100 tahun perhutanan di Sabah juga dipamerkan di atrium berkenaan.

“Atrium ini bukan sahaja akan memberikan maklumat mengenai perhutanan melalui pendekatan yang inovatif tetapi juga akan menjadi sumber pengetahuan kepada pelawat asing dan tempatan yang melawat Ibu Pejabat Perhutanan di Sandakan,” katanya pada pelancaran Pusat Maklumat Heart of Borneo (HoB) di Atrium Jabatan Perhutanan Sabah di sini kelmarin.

Musa berkata, beliau amat gembira kerana Jabatan Perhutanan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Sam Manan, sentiasa berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan Pengurusan Hutan Lestari selaras dengan objektif Inisiatif HoB.

“Saya bangga untuk mengatakan bahawa Sabah mengetuai dunia dalam pemuliharaan hutan. Walaupun kerajaan mungkin telah kehilangan pendapatan yang besar dari hutan dan sumber-sumbernya, namun kita mencapai kejayaan dalam pengurusan dan pemuliharaan hutan.

“Contoh unggul berprofil tinggi Sabah dan pencapaian luar biasa dalam pengurusan dan pemuliharaan hutan hujan tropika dunia adalah Inisiatif HoB,” katanya.

Katanya, Sabah juga telah menerima pengiktirafan dunia dalam pensijilan hutan, bermula dengan Hutan Simpan Deramakot pada 1997.

Sehingga Disember 2015, hutan yang diperakui di Sabah, sama ada sebahagian atau sepenuhnya diperakui, telah meningkat kepada lebih satu juta hektar dengan lebih daripada setengah juta hektar yang diperakui di bawah Forest Stewardship Council (FSC).

Jelasnya, sejak permulaan Inisiatif HoB pada 2007, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah telah menunjukkan kemajuan yang luar biasa.

Pelan Tindakan Strategik pertama (SPA) telah dihasilkan setahun kemudian, direka untuk menjadi pelan tindakan bagi mencapai visi HoB keseluruhan.

Seterusnya, Pelan Tindakan Strategik kedua telah dirangka pada 2013 untuk tempoh 2014 sehingga 2020, bertujuan meningkatkan pelaksanaan aktiviti HoB, memberi tumpuan kepada lima program utama iaitu pengurusan merentasi sempadan, pengurusan kawasan perlindungan, pengurusan sumber asli yang mapan, pembangunan ekopelancongan dan kapasiti bangunan.

“SPA ini digunakan sebagai panduan ke arah pelaksanaan yang sepatutnya mengenai aktiviti HoB. Sekurang-kurangnya tujuh persidangan dan pameran telah diadakan sejak 2009, untuk menyebarkan maklumat mengenai HoB dan perkara yang berkaitan mengenai pengurusan dan pemuliharaan hutan.

“Pada masa yang sama, ia juga untuk mengumpul pakar-pakar, pemegang berkepentingan dan orang awam bagi membincangkan langkah ke hadapan untuk kebaikan amalan hutan yang baik dan pemuliharaan hutan di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Musa turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar atas pembiayaan dan sokongan yang berterusan bagi pelaksanaan HoB di Sabah.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa HoB Peringkat Negeri Sabah merangkap Timbalan Setiusaha Kerajaan Negeri Datuk Joseph Pounis Guntavid, Pengarah Perhutanan Negeri Datuk Sam Mannan, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Zakaria Mohd Edris, Pengerusi Andamy Group Mejar (K) Tan Sri Andrew Liew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong Mejar (K) Datuk Samsudin Yahya, Adun Karamunting Chales O Pang, Adun Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman dan tetamu-temu kehormat.