David tetap merendah diri

0
LIBASAN KENCANG: Sebahagian daripada babak aksi perlawanan Liga Super 2016 Perak bertemu Sarawak di Stadium Perak, kelmarin Keputusan penuh Perak 0 Sarawak 3. — Gambar Bernama

LIBASAN KENCANG: Sebahagian daripada babak aksi perlawanan Liga Super 2016 Perak bertemu Sarawak di Stadium Perak, kelmarin Keputusan penuh Perak 0 Sarawak 3. — Gambar Bernama

Namanya mula jadi sebutan penyokong Sarawak selepas dua kali menang

KUCHING: Nama David Usop sememangnya asing dalam bola sepak tempatan, namun beliau mula menjadi sebutan penyokong Sarawak selepas membawa skuad Bujang Senang mencatat dua kemenangan sebaik menggantikan Datuk K Rajagobal.

Dua kemenangan berturut- turut selepas mengambil alih tugas tersebut sebaik Rajagobal meletak jawatan, melonjakkan nama bekas pemain Sarawak era lewat 80-an dan awal 90-an itu sesudah hanya menjadi penolong jurulatih kepada Robert Alberts dan Rajagobal.

Namun David tidak mahu mendabik dada, sebaliknya mengatakan beliau hanya melakukan yang terbaik untuk pemain dan pasukannya yang kini menduduki tempat kesembilan Liga Super.

“Apa yang saya cuba terapkan ialah keharmonian dalam pasukan dan saya sangat gembira kerana mereka bermain dengan baik dan memiliki semangat berpasukan yang tinggi,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Sebenarnya David telah membuktikan kemampuan beliau selaku jurulatih sejak musim lepas setelah menyelamatkan Sarawak daripada turun ke Liga Perdana apabila berjaya membimbing pasukan itu memenangi baki perlawanan selepas mengambil alih tugas Alberts yang ditamatkan kontraknya.

Namun Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) masih belum yakin akan kemampuan jurulatih berketurunan Iban itu, sebaliknya mengikat kontrak dengan Rajagobal sebagai ketua jurulatih Sarawak musim ini yang sekadar membawa Sarawak hanya menang satu daripada 10 perlawanan.

Sebaik menggantikan Rajagobal, David membimbing Sarawak menumpaskan Perak 3-2 pada Rabu lalu dan kemudian mencatat kemenangan besar 3-0 ke atas lawan sama di pusingan kedua Liga Super di Stadium Perak malam kelmarin.

David berkata anak buahnya beraksi dengan baik dalam dua perlawanan itu dan kini tiada tekanan kerana sudah berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia.

“Mereka bekerja keras dan sememangnya kami berhak menang dan ia adalah momentum kemenangan yang sangat baik bagi pasukan.

“Fokus kami sekarang ialah untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super dan seterusnya kekal dalam liga ini musim depan,” katanya.

David berkata sepanjang tempoh Liga Super berehat selama sebulan setengah, pemain akan menjalani latihan seperti biasa selain mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan. — Bernama