Tabung Amanah Pemuliharaan Hidupan Liar perlu sumbangan

0

KUCHING: Syarikat-syarikat korporat di Sarawak dan Malaysia termasuk di seluruh dunia perlu menyumbang kepada Tabung Amanah Pemuliharaan Hidupan Liar di negeri ini.

Menegaskan demikian, Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman berkata sumbangan khususnya dari segi kewangan itu amat diperlukan untuk meneruskan usaha pemuliharaan hidupan liar.

“Misalnya dengan menyumbang dana untuk orang utan, anda secara tidak langsung terlibat bersama-sama dengan pakar-pakar dalam meneruskan kerja-kerja pemuliharaan bagi hidupan liar yang terancam itu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Ikrar oleh 13 organisasi bagi menyokong pemuliharaan orang utan dan ikan jerung yang diadakan di Hotel Hilton di sini, semalam.

Organisasi yang menandatangani ikrar itu ialah Program Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia, Ulu Ai Conservancy, Sarawak Energy Berhad, Pusat Biodiversiti Sarawak, Raw Kitchen, Orangutan Sdn Bhd, Polis Diraja Malaysia, Hilton Kuching, Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Borneo Adventure, Aiman ​​Batang Ai Resort and Retreat, Swinburne University of Technology Kampus Sarawak dan Permai Rainforest Resort.

Justeru dengan inisiatif tersebut, Sudarsono menegaskan dakwaan bahawa Sarawak telah membunuh banyak orang utan adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa kerajaan telah mengisytiharkan kira-kira 14,000 hektar di Ulu Menyang Batang Ai sebagai kawasan pemuliharaan orang utan.

“Dianggarkan sebanyak 2,000 orang utan kini dapat ditemui di Ulu Menyang Batang Ai,” katanya.

Sementara sempena majlis, program ‘Ride For The Wild’ turut diadakan bersama oleh Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar Cabang Malaysia, Pusat Biodiversiti Sarawak dan Swinburne University of Techology Kampus Sarawak.

Lebih 260 orang telah menyertai perjalanan yang bermula dan tamat di Swinburne Sarawak, di mana semua dana yang diperolehi akan disalurkan kepada aktiviti pendidikan pemuliharaan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat.