Piala Belia Samarahan 2016: Kapaku FC hantar surat bantahan

0
BANTAHAN: Abdul Rahman (tengah) menunjukkan surat bantahan kepada pada sidang media di Kuching semalam.

BANTAHAN: Abdul Rahman (tengah) menunjukkan surat bantahan kepada pada sidang media di Kuching semalam.

KUCHING: Pengurusan Kapaku FC semalam menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Pertandingan Piala Belia Samarahan 2016 sebagai membantah keputusan pengadil yang mengendalikan perlawanan separuh akhir menentang Sambir Bistari di Kompleks Sukan Asajaya pada Ahad lalu.

Pengurus Pasukan, Abdul Rahman Mohamad Hazmi berkata bantahan dibuat kerana pihaknya tidak berpuas hati dengan percanggahan keputusan dibuat oleh pengadil mengendalikan perlawanan itu.

Isu timbul selepas pembantu pengadil membatalkan jaringan pemain Kapaku FC menerusi sepakan percuma sedangkan pengadil perlawanan mengesahkannya terlebih dahulu.

“Kami cukup terkilan dan hairan mengapa gol dijaringkan pemain kami tidak dikira sedangkan sebelum itu pengadil perlawanan sudah mengarahkan bola diletak di garisan tengah padang menandakan jaringan tersebut sah,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Sesi sidang media tersebut turut disertai penolong pengurus, Zulkeply Mohd Som dan ketua jurulatih Kapaku FC, Nazarie Kushairy.

Menurut Abdul Rahman, pihaknya boleh menerima apa juga keputusan perlawanan sama ada kalah ataupun menang namun apa yang menjadi persoalan pendirian barisan pengadil terbabit.

Katanya, seperkara turut menimbulkan rasa tidak puas hati apabila pengadil perlawanan memberi kemenangan kepada Sambir Bistari selepas pemain Kapaku FC enggan meneruskan perlawanan dan ketika itu kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

“Memang saya akui pemain tertekan berdepan situasi tersebut sehingga mereka tidak mahu meneruskan perlawanan.

Namun, pengadil sepatutnya berbincang dahulu dengan ketua jurulatih dan pengurus sebelum mengambil sebarang keputusan,” jelasnya yang ternyata kecewa.

Apapun tegas Abdul Rahman, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada jawatankuasa pertandingan.

Kempen Piala Belia Samarahan 2016 yang akan melabuhkan tirainya Sabtu ini (28 Mei) menyaksikan Yayasan Sarawak – Sanjung Etika melangkah ke aksi final hasil kemenangan 3-0 ke atas Ocean Eagle Samarahan FC.