Final LBR: Kuching bersemangat berdepan Padang Besar Sabtu ini

0
BERSEMANGAT: Pemain Kuching bersemangat menjalani latihan persiapan menghadapi perlawanan akhir Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2015-2016 menentang Padang Besar (Perlis) pada Sabtu ini.

BERSEMANGAT: Pemain Kuching bersemangat menjalani latihan persiapan menghadapi perlawanan akhir Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2015-2016 menentang Padang Besar (Perlis) pada Sabtu ini.

KUCHING: Ketua jurulatih skuad Kuching, Sharizan Sahari akan menunaikan ibadah umrah bersama penolong jurulatih, Ideris Untong bermula hari ini.

Sehubungan itu, Shahrizan berkata tugas ketua jurulatih akan digalas oleh Pengurus Pasukan, Iswandi Ali Hassan.

Ketika dihubungi, Sharizan berharap skuad Kuching beroleh kemenangan pada perlawanan akhir Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2015- 2016 menentang Padang Besar dari Perlis pada Sabtu ini (28 Mei).

“Saya menaruh harapan tinggi Kuching dapat menjulang kejuaraan pada perlawanan akhir Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam Beliau juga optimis Iswandi mampu menggalas tugas besar membimbing Kuching meraih kejayaan bersejarah itu nanti.

Sementara itu, Iswandi berharap dua tonggaknya iaitu kapten pasukan, Ahmad Shakri Tuah dan Ahmad Faiz Bujang dapat diturunkan pada perlawanan akhir menentang Padang Besar.

Menurut Iswandi, beliau masih menunggu maklum balas pihak LBR mengenai status kedua-dua pemain itu yang berdepan kemungkinan direhatkan kerana mengutip dua kad kuning.

“Sudah pasti kita amat memerlukan khidmat kedua-dua pemain terbabit lebih-lebih Ahmad Faiz kerana beliau sangat konsisten sejak saingan LBR bermula.

“Saya sangat berharap mereka dapat diturunkan untuk memperkuat jentera serangan dan pertahanan kita pada perlawanan akhir nanti,” katanya.

Kuching bakal melakar sejarah tersendiri jika berjaya menjuarai edisi pertama Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2015-2016 pada Sabtu ini.

Perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Kuala Lumpur dan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Arena 801 bermula jam 9 malam.