KUCHING: Seorang lelaki masih diburu manakala seorang lagi berjaya ditangkap semula apabila kedua-dua suspek judi siber itu bertindak menolak polis pengiring sebelum melarikan diri selepas prosiding reman selesai di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar, kedua-dua suspek judi siber itu melarikan diri sekitar jam 11 pagi namun pasukan JSJ Kuching berjaya menangkap semula lelaki berusia 22 tahun pada jam 2 petang di Kampung Tabuan Hilir.
“Polis pengiring sedang menggari suspek-suspek selepas prosiding reman selesai apabila dua daripada mereka menolak polis itu sehingga terjatuh dan meluru keluar dari kamar mahkamah.
“Dua orang polis pengiring dalam kamar mahkamah tidak cuba mengejar mereka memandangkan terdapat 17 suspek lain dalam kamar mahkamah tersebut ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Dev, secara keseluruhan seramai 19 suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk direman dalam insiden jam 11 pagi itu.
Katanya, 12 daripada suspek yang ditahan adalah hasil serbuan ke sarang judi yang didapati beroperasi semula di RH Plaza, Jalan Lapangan Terbang kira-kira jam 12.30 pagi semalam.
Polis daripada Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) JSJ Sarawak diketuai Inspektor Khairul Nidzam katanya, menyerbu sebuah premis di RH Plaza kira-kira jam 12.30 pagi yang ‘tidak serik’ meskipun pernah diserbu 10 April lalu.
“Dalam serbuan bulan lalu, 18 individu ditahan dan 29 komputer yang digunakan untuk judi siber dirampas manakala penjaga telah didakwa di mahkamah serta didenda RM8,000,” katanya.
Katanya, seramai 12 lelaki termasuk seorang penjaga yang berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 49 tahun yang ditemui dalam premis itu ditahan.
Beliau menambah, polis turut merampas 26 komputer digunakan untuk judi siber bersama pelbagai peralatan WiFi.
Wang tunai berjumlah RM231 yang ditemui di atas kaunter dipercayai perolehan daripada kegiatan judi turut dirampas, tambahnya.
“Nilai kesemua barangan yang dirampas dianggarkan berjumlah RM40,000,” katanya.
Penjaga sarang perjudian itu akan disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan manakala kesemua kaki judi disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sejak awal tahun ini hingga 30 April, sebanyak 48 premis judi siber diserbu yang menjurus kepada 316 tangkapan dan sebanyak 433 komputer serta tablet bernilai RM650,000 dirampas.
Turut dirampas dalam tempoh itu adalah wang tunai berjumlah RM50,488 dipercayai hasil aktiviti judi siber.