Sarawak hadapi saingan sengit

0

Oleh Harry Ilias//

KUCHING: Jurulat i h Sarawak, David Usop meramalkan saingan sengit bakal dihadapi pasukannya dalam kempen Piala Malaysia 2016 selepas diundi bersama TTeam, Kedah dan JDT II dalam Kumpulan A.

Menurutnya, format baharu Piala Malaysia musim ini yang akan berlangsung serentak dengan kempen Liga Super 2016 akan memberi peluang seimbang kepada semua pasukan yang mengambil bahagian bersaing hebat.

“Sukar untuk meramalkan peluang pasukan kita (Sarawak) pada kempen Piala Malaysia musim ini kerana berlangsung serentak dengan kempen Liga Super 2016 ini.

“Bagaimanapun, kita perlu melihat pelbagai faktor seperti kecederaan pemain-pemain yang boleh menggugat rentak permainan mereka.

Selain itu, pasukan bawahan juga pasti enggan mengalah kerana mahu memperbaiki kedudukan masing-masing,” katanya ketika dihubungi semalam.

Berdasarkan pengamatan beliau, Kedah dan T-Team dijangka menjadi pesaing utama pasukan Sarawak dalam usaha memburu dua slot teratas peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia musim ini.

Begitupun, David yang berjaya menghadiahkan kemenangan ‘back-to-back’ ke atas Perak dalam saingan Liga Super pada minggu lalu tetap mensasarkan slot ke suku akhir.

“Sudah tentu sasaran kita melangkah ke pusingan suku akhir dan saya akan menangani perlawanan satu persatu untuk memastikan pasukan Sarawak berdudukan terbaik dalam kempen Piala Malaysia nanti,” katanya.

Undian yang diadakan di Sri Pentas Kuala Lumpur malam kelmarin menyaksikan juara bertahan, Selangor diundi dalam Kumpulan B bersama Kelantan, Pahang dan skuad ibu kota, Kuala Lumpur.

Sementara JDT, PDRM, Perak dan PKNS diundi dalam Kumpulan C manakala Felda United, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan bersaing dalam Kumpulan D.

Perlawanan kempen Piala Malaysia dijangka bermula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hujung Julai ini.

Sementara itu, David merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sepanjang tempoh cuti panjang saingan Liga Super 2016 dengan kelab-kelab tempatan dan Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, beliau belum mengenal pasti kelab-kelab yang akan menjadi ‘sparring’ Sarawak nanti.