Sistem perlindungan kebakaran sering tidak diselenggara: Bomba

0

Oleh Sandy Mark Luna//

PENGHARGAAN: Wan Mohd Nor (kanan) menerima cenderamata daripada Nor Hisham sebagai kenangan selepas merasmikan seminar yang dihadiri sekitar 400 peserta semalam.

PENGHARGAAN: Wan Mohd Nor (kanan) menerima cenderamata daripada Nor Hisham sebagai kenangan selepas merasmikan seminar yang dihadiri sekitar 400 peserta semalam.

KUCHING: Aspek keselamatan kebakaran di bangunan-bangunan khususnya dalam penyelenggaraan sistem perlindungan kebakaran yang harus diberi penekanan dari semasa ke semasa didapati sering diabaikan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, meskipun perkara itu seolah-olah remeh, ia merupakan satu pelaburan yang amat penting bukan sahaja untuk perlindungan harta benda malah mampu menyelamatkan nyawa.

“Saya telah banyak melihat projek-projek yang menghabiskan banyak wang pada sistem perlindungan kebakaran namun ia tidak berfungsi semasa insiden kebakaran.

“Mungkin disebabkan pengesan kebakaran yang tidak berfungsi, kegagalan bateri sandaran atau pam tidak berfungsi, (akhirnya) pelaburan bernilai berjuta-juta hilang akibat kegagalan menyelenggara sistem perlindungan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pendekatan Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran Untuk Reka Bentuk Bandar Raya Moden 2016 di sini, semalam.

Wan Mohd Nor berkata, kesalahan lazim dikesan oleh JBPM ketika menjalankan pemeriksaan di bangunan-bangunan adalah pintu rintangan api yang ditukar kepada pintu biasa serta tidak diselenggara.

Dalam pemeriksaan-pemeriksaan yang dijalankan, notis peringatan akan dikeluarkan kepada pihak yang tidak mengikut piawaian agar menambah baik sistem keselamatan kebakaran.

Bagaimanapun katanya, sekiranya pihak berkenaan tidak mengendahkan notis yang diberikan, tindakan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) boleh diambil terhadap pengurus bangunan.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 540 notis dikeluarkan daripada sejumlah 1,360 pemeriksaan bangunan dijalankan di bandar raya ini pada tahun lepas.

“Setakat ini, kita telah bawa enam kes ke mahkamah,” katanya.

Menurut beliau, antara sektor diberi penekanan adalah ladang kelapa sawit serta hotel bajet.

Seminar untuk meningkatkan kesedaran pengurusan bangunan terhadap langkah keselamatan itu dihadiri sekitar 400 peserta.