SUKMA XVIII: Skuad sepak takraw berguru di Thailand

0

KUCHING: Skuad sepak takraw lelaki SUKMA Sarawak berlepas ke Bangkok, Thailand kelmarin untuk menjalani latihan pendedahan selama tiga minggu di sana.

Ia merupakan latihan pendedahan terakhir Sarawak sebagai persiapan menghadapi SUKMA XVIII yang akan berlangsung dari 22 hingga 31 Julai 2016.

Mereka akan turut diiringi Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) Dato Sri Abang Khalid Abang Marzuki bersama Timbalannya Datuk Abang Ismail Abang Saufi.

“Latihan pendedahan ini bertujuan memperkuatkan mental pemain kita apabila berhadapan dengan lawan semasa pertandingan sebenar kelak.

“Saya berharap latihan ini dapat menghilangkan perasaan gementar pemain apabila mereka berdepan pemain dari negeri lain,” kata Abang Khalid semalam.

Pada masa yang sama, Abang Khalid juga berharap pemain menggunakan latihan itu sebaiknya untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka.

Di sana menurut Abang Khalid, skuad negeri akan mengadakan beberapa perlawanan ‘sparring’ dengan skuad Thailand.

Selain itu, mereka juga akan menjalani latihan kecergasan dan mental secara intensif.