100 disyaki terlibat sabotaj myIMMs

0

PUTRAJAYA: Kira-kira 100 orang termasuk pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan anggota sindiket kini disiasat pihak berkuasa disyaki terlibat dalam mensabotaj pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pegawai terlibat terdiri daripada pegawai pertengahan dan kakitangan sokongan JIM yang berkhidmat selama satu hingga lima tahun.

Berdasarkan risikan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PRDM) dan JIM mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti mensabotaj sistem itu kira-kira enam bulan hingga dua tahun dengan membocorkan data termasuk menggunakan nombor kod tertentu untuk disalah guna, katanya.

“Kebanyakan mereka melakukan kegiatan mensabotaj enam bulan hingga dua tahun untuk mengaut keuntungan semata-mata…sebahagian daripada mereka kini berada dalam tahanan polis.

Kita tidak akan mempertahankan mereka dalam perkara ini malah akan mengambil tindakan proaktif berdasarkan laporan media dan orang ramai. Bukan hanya tindakan disiplin dalaman malah kami mengheret mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah. Kita tidak akan berkompromi dengan mereka terlibat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sebelum itu, Ahmad Zahid menyampaikan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong bagi sesi pengajian 2016-2017 kepada 11 penerima yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di dalam dan luar negara.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 menyatakan myIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan menyebabkan objektifnya terjejas.

Menurut laporan itu, kemudahan biometrik myIMMs bernilai RM10.3 juta telah dibekalkan dan dibayar, tetapi tidak dipasang dan diguna pakai di pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga asing dan juga rakyat Malaysia.

Ahmad Zahid menolak penglibatan pegawai atasan dan juga pembekal sistem myIMMs dalam kegiatan mensabotaj sistem myIMMS.

Berdasarkan siasatan, beliau berkata salah seorang daripada anggota sindiket merupakan warga asing manakala yang lain adalah rakyat tempatan.

Sehubungan itu, beliau bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim akan berjumpa dengan pembekal agar mengemas kini dan menambah baik sistem tersebut dalam tempoh terdekat. — Bernama

“Siasatan mendapati sistem ini dipercayai digodam dan diperlemahkan. Dengan penambahbaikan ini, saya berharap sabotaj tidak berulang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata setakat ini pemantauan terhadap tindakan sabotaj hanya tertumpu di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur, namun siasatan turut dilakukan di pintu-pintu masuk negara yang lain.

Sementara itu, mengenai Biasiswa Yang di-Pertuan Agong, Ahmad Zahid berkata penerima biasiswa yang paling berprestij dalam negara itu wajib menyumbang perkhidmatan dalam negara tanpa mengira sektor awam, swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk tempoh lima tahun setelah selesai pengajian.

Beliau berkata kadar biasiswa itu amat menarik iaitu kadar elaun sara hidup adalah 50 peratus lebih tinggi daripada kadar Biasiswa Persekutuan. Sejak 2006 hingga tahun lepas, 118 penerima yang terdiri daripada 59 pelajar Sarjana dan 59 PhD menerima biasiswa itu. — Bernama