Abdul Hadi bentang usul Rang Undang-undang Persendirian

0

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Abdul Hadi ketika membentangkan usul itu berkata ia bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Beliau berkata bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Beliau kemudian mencadangkan usul itu dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang di bawah peraturan mesyuarat 15 (5).

Usul berkenaan telah disenaraikan sebanyak dua kali sebelum ini dalam aturan mesyuarat dan dapat dibentangkan hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengambil ketetapan usul itu boleh dibentangkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 14 (2) dan 15 (1). — Bernama