Bekas pelajar sk pekan Sipitang beri sumbangan kepada balu, ibu tunggal

0
PROGRAM AMAL: Bekas pelajar SK Pekan Sipitang menyampaikan sumbangan kepada penerima di Kg Pasir.

PROGRAM AMAL: Bekas pelajar SK Pekan Sipitang menyampaikan sumbangan kepada penerima di Kg Pasir.

SIPITANG: Bagi meringankan beban balu dan ibu tunggal di daerah ini, sekumpulan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Pekan Sipitang (Sesi 1981-1986) mengambil inisiatif memberi sumbangan barangan keperluan kepada 10 balu dan ibu tunggal dengan penyerahan sumbangan dijalankan kelmarin.

Wakil bekas pelajar itu, Norkhajijah Md Tussin berkata pembelian barangan keperluan makanan itu hasil sumbangan beberapa bekas pelajar SK Pekan Sipitang di bawah Jejak Kasih SK Pekan Sipitang.

Katanya, ia merupakan program amal dan kebajikan pertama dilaksanakan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Menurutnya balu dan ibu tunggal yang diberikan sumbangan itu tinggal di Kampung Tunggul Tinggi, Aru 9, Jalan SMPO, Jalan Pelakat, Guruh-Guruh, Buang Sayang dan Lumut.

“Program seperti ini akan diperluaskan ke kawasan lain di sekitar Pekan Sipitang hingga ke Sindumin,” katanya.

Norkhajijah berkata objektif program itu adalah bagi menimbulkan sikap ambil peduli generasi belia terhadap golongan kurang berkemampuan dan menggalakkan sikap bersedekah.

Pada masa sama, katanya, dapat membentuk akidah dan jati diri yang teguh dalam membantu masyarakat sekeliling.

Beliau berkata selain dapat berhubung semula dan mengeratkan silaturahim kalangan bekas pelajar SK Pekan Sipitang, program amal dan kebajikan dapat dilakukan menerusi penubuhan Jejak Kasih SK Pekan Sipitang.

Katanya biarpun bekas pelajar SK Pekan Sipitang yang bekerja dan tinggal di beberapa daerah di negeri ini dan di Semenanjung Malaysia, ia tidak menjejaskan hubungan satu sama lain kerana sering berhubung menerusi media sosial.