Warga emas kehilangan wang lebih RM100 ribu

0

KOTA KINABALU: Seorang wanita berumur 60 tahun kehilangan wang tunai lebih RM100 ribu selepas dicuri dua lelaki tidak dikenali di lampu isyarat berdekatan bangunan Wawasan Plaza, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata suspek yang menunggang motosikal melarikan wang terbabit selepas memecahkan cermin kereta mangsa dalam kejadian jam 12.26 tengah hari itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang ketika itu hanya berseorangan baharu mengeluarkan wang tunai sejumlah lebih RM100 ribu dari sebuah bank di Api-Api Centre di sini.

“Mangsa kemudiannya menyimpan wang terbabit di dalam sampul surat sebelum beredar dari bank menggunakan kereta jenis Perodua Kembara.

“Sebaik tiba di lampu isyarat, secara tiba-tiba dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal memecahkan cermin kereta mangsa sebelum mengambil sampul terbabit dan kemudiannya menghilangkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Chandra berkata susulan kejadian itu, pihaknya segera menubuhkan pasukan khas bagi usaha mengesan dan menangkap kedua-dua suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

“Kita sedang menjalankan usaha mengesan dua suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna putih selain menggerakkan semua pasukan polis untuk usaha menangkap suspek.

“Sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohanadass A/L Ganeson di talian 016-4414939 atau 088-318843,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan bukan kes samun berikutan tiada sebarang senjata yang digunakan semasa kejadian.

Polis turut menasihatkan orang awam agar membawa teman semasa berurusan di bank dan melaporkan segera kepada polis jika mengesan sebarang kejadian mencurigakan dengan segera.

“Pihak bank juga perlulah menyediakan tempat khas bagi pengeluaran dalam jumlah yang banyak berikutan modus operandi suspek adalah berpakaian kemas masuk ke dalam bank untuk memerhatikan mangsa, kemudiannya mengekori mangsa ke lokasi sesuai sebelum mengambil wang mangsa,” katanya.