Bekam bukan alternatif vaksin

0

KUALA LUMPUR: Amalan bekam bukan alternatif kepada pengambilan vaksin dalam kalangan bayi dan kanak-kanak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menjelaskan bekam adalah perubatan komplimentari dan bukannya alternatif.

“Ia dipercayai memberi kesan baik untuk kesihatan individu dewasa tetapi ia tidak dapat memberi impak baik kepada bayi dan kanak-kanak, sebagaimana yang diberikan oleh imunisasi yang dapat mencegah penularan penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan berita sebuah akhbar tempatan yang viral di media sosial sejak Rabu lepas mengenai tindakan seorang jurubekam yang mula membuat bekam ke atas anaknya seawal usia 25 hari serta menjadikan amalan bekam itu sebagai alternatif menggantikan program imunisasi.

Menurut Dr Noor Hisham, imunisasi adalah satu proses pembentukan daya lawan badan (imuniti) secara aktif terhadap penyakit cegahan vaksin yang spesifik terutama yang boleh menyebabkan kecacatan dan kematian, antaranya tuberculosis (TB), hepatitis B, batuk kokol, tetanus, polio, campak dan rubella.

“Program imunisasi yang berjaya, mampu mengawal dan seterusnya membasmi terus penyakit cegahan vaksin, contohnya cacar telah dibasmi di seluruh dunia,” katanya.

Jelas beliau, berdasarkan garis panduan dikeluarkan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pelanggan yang ingin berbekam mestilah berumur antara 10 hingga 65 tahun, manakala yang berumur lebih 65 tahun, berbekam boleh dilakukan sekiranya mempunyai tahap kesihatan baik. Malah satu laporan teknikal telah dikeluarkan oleh Malaysian Health Technology Assessment Section (MaHTAS) pada 2012, bertajuk ‘Cupping Therapy’ yang turut membincangkan penggunaan bekam dalam kalangan kanak-kanak.

“Bagaimanapun, maklumat yang diterima daripada pihak MaHTAS adalah tiada subtopik khusus dan artikel saintifik yang diperoleh, ketika laporan disediakan yang membincangkan hal tersebut,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan kenyataan jurubekam dari Melaka itu yang mendakwa berbekam tujuannya bukan untuk mengeluarkan darah kotor, tetapi oksida.

Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa berdasarkan BPTK, bekam bertujuan mengeluarkan darah kotor daripada badan yang dipercayai boleh memudaratkan.

“Berbekam juga dipercayai dapat membantu mengeluarkan bahan toksin dan cecair berlebihan, meningkatkan pengaliran darah dalam otot dan fascia, memberi rangsangan pada sistem saraf serta melonggarkan tisu-tisu yang telah melekat.

“Ia juga dipercayai memberi kesan melalui proses detoksifikasi dan kesan ‘counter-irritation’ tetapi setakat ini tiada kajian saintifik yang kukuh yang dapat membuktikan teori ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai status Diploma Eksekutif Keusahawanan Islam (Jurubekam Klinikal) dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang didakwa dimiliki jurubekam itu, Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam USM Mohamad Abdullah berkata universiti tersebut tidak pernah menawarkan pengajian akademik peringkat diploma mengenai bekam.

Katanya, sebarang penawaran program akademik perlu melalui kelulusan Senat USM.

Beliau berkata, program diploma eksekutif sekali pun perlu melalui kelulusan universiti jika dibuat oleh mana-mana pihak termasuk dalam penggunaan logo rasmi USM.

“Oleh itu, hal ini sedang diteliti dan dalam siasatan USM dan berharap orang ramai tidak mudah percaya sebarang dakwaan yang dibuat oleh mana-mana pihak terutamanya dalam hal penawaran program akademik universiti,” katanya.

“USM kesal dengan pelbagai dakwaan yang dibuat dan berharap penyebaran maklumat seperti ini akan dihentikan segera,” katanya. — Bernama