Usul Pinda Akta 355 Bidang Kuasa Mahkamah Syariah bukan mahu wujudkan undang-undang baharu

0

PUTRAJAYA: Usul untuk meminda Akta 355 Bidang Kuasa Mahkamah Syariah sedia ada yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin, bukan bertujuan untuk mewujudkan undang-undang baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pindaan terhadap Akta 355 itu bermatlamat untuk memperkasakan bidang perundangan Syariah sedia ada kepada sistem yang selari dengan perkembangan semasa dan berakar kukuh kepada sumber-sumber perundangan syariah yang diiktiraf di dalam Islam.

“Pindaan ini akan meningkatkan jumlah hukuman di Mahkamah Syariah yang telah begitu lama tidak dipertingkatkan.

“Kuasa merotan sebanyak maksimum enam kali sebatan, denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun, antara perkara yang akan disentuh di dalam pindaan yang dibentangkan ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kelmarin, Abdul Hadi membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Jamil Khir berkata, sebagaimana yang dijelaskan di dalam perlembagaan, melalui cadangan pindaan usul persendirian itu, ia hanya terpakai kepada orang Islam di negara ini dan tidak memberi kesan langsung kepada golongan bukan Islam, selagi hak beragama yang diamalkan bersikap aman dan damai terhadap Islam.

“Ia juga tidak ada kena-mengena dengan Enakmen Jenayah Syariah II Negeri Kelantan yang pernah dicadangkan di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum ini,” katanya.

Sebagai menghormati kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Sumpah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diwajibkan memelihara agama Islam pada setiap masa, beliau meminta semua pihak supaya menghormati hak-hak yang telah diiktiraf untuk dilaksanakan serta dijalankan menurut perlembagaan.

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap usul itu akan dapat memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman jenayah mengikut ketetapan syariah dan tidak sesekali melangkaui bidang kuasa Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Usul itu adalah untuk dibahas dan dipinda bagi membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman berkaitan dengan zina, qazaf, minum arak dan murtad melebihi kuasa sedia ada sebelum ini, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berharap agar semua ahli Parlimen dapat menerima pindaan usul itu tanpa perlu mencetuskan andaian-andaian yang tidak benar, apatah lagi menakutkan rakyat dengan sesuatu yang tidak berasaskan realiti sebenar hukum syarak dan masyarakat berbilang agama dalam konteks negara ini.

Usul berkenaan bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati. — Bernama