Agenda kemuafakatan berpusat kesederhanaan dalam ketegasan teras kepimpinan Adenan

0

KUCHING: Agenda kemuafakatan yang berpusatkan kepada kesederhanaan dalam ketegasan menjadi teras kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang memberitahu bahawa perkara itu disambut baik seluruh ahli dalam ‘Team Adenan’.

“Hasilnya, kita dapat melihat keputusan yang diambil rakyat dalam memilih pemimpin yang benar-benar dapat menunaikan harapan dan impian mereka suatu hari nanti.

“Ternyata, komitmen kerajaan negeri bukan sekadar omong kosong, malah sebaik sahaja selesai pilihan raya Ketua Menteri dengan tegasnya mahu setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengemukakan kad laporan masing-masing enam bulan sekali yang akan disemak dan dinilai oleh beliau sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Perdana dan Festival Nasyid Simunjan 2016 di Kampung Kelka dekat sini, malam kelmarin.

Sehubungan itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong menggesa agar kesemua pemimpin di peringkat akar umbi menjadikan kepimpinan Ketua Menteri sebagai contoh.

“Oleh itu, saya berharap semua pemimpin di peringkat akar umbi, baik ketua kampung, tuai rumah, ketua masyarakat, ketua agensi kerajaan dan swasta, ketua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jawatankuasa masjid dan surau dan sebagainya berganding bahu dan menyambut baik momentum ini,” tegasnya.

Menurutnya, ia selari dengan ‘Team Adenan’ agar setiap lapisan pemimpin dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai sifat kepimpinan demi mencapai kemajuan.

“Sesungguhnya apa yang telah kita lalui bersama-sama menjadi pengalaman dan perangsang kepada semua pihak yang terlibat,” ujarnya.

Hadir sama ADUN Simunjan Awla Dris dan tetamu kehormat lain.