Jalan raya utama dalam Kampung Semeba perlu dilebarkan: Manyin

0

KUCHING: Jalan raya utama dalam Kampung Semeba dekat sini perlu dilebarkan bagi menangani masalah kesesakan trafik terutama ketika berlangsungnya majlis atau program di kampung berkenaan.

Prihatin dengan masalah itu, Menteri Belia, Sukan dan Perpaduan Dato Sri Michael Manyin berharap Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan membantu dalam perkara itu.

“Saya difahamkan bahawa kampung ini sering berhadapan dengan masalah kesesakan trafik terutama ketika berlangsungnya acara seperti yang diadakan pada hari ini (Sabtu).

“Jadi, demi kebaikan penduduk yang mendiami Kampung Semeba ini dan juga penduduk dari kampung berhampiran yang berkongsi laluan ini, saya harap MPP akan memberi perhatian kepada perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Rami Gawia Semeba 2016 yang berlangsung di dewan kampung berkenaan malam kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi MPP Lo Khere Chiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Datu Ik Pahon Joyik  dan pengerusi pengelola Wes Mirid.

Terdahulu dalam ucapannya, Manyin yang juga ADUN Tebedu dan penasihat DBNA mengajak masyarakat Bidayuh tanpa mengira kumpulan etnik dan dialek mengetepikan perbezaan antara satu sama lain.

Katanya, meskipun Bidayuh terbahagi kepada empat dialek utama Jagoi-Singai (daerah Bau), Bukar-Sadong (bahagian Serian), Biatah (Padawan) dan Selako-Lara (daerah Lundu), namun semuanya masih dianggap sebagai satu Bidayuh.

“Seseorang Bidayuh tetap Bidayuh walau apa latar belakangnya atau dari mana dia datang.

“Sebab itu, kita perlu mengetepikan perbezaan antara satu sama lain dan sama-sama memikirkan masa depan komuniti kita agar setanding dengan bangsa lain di Malaysia,” katanya.

Bercakap mengenai majlis itu, ia dimeriahkan lagi dengan pertandingan Dari Ngigap dan Dayung Sangon bagi memilih lelaki dan wanita Bidayuh yang paling kacak dan cantik.

Seramai tujuh peserta merebut gelaran Dari Ngigap dan 13 peserta merebut gelaran Dayung Sangon dengan masing-masing tampil dalam busana tradisional Bidayuh.

Sebagai tanda sokongan kepada aktiviti anjuran pihak jawatankuasa kampung, Manyin pada malam itu turut menyampaikan geran sebanyak RM10,000 bagi membiayai aktiviti yang dianjurkan.