Usaha keras skuad Kuching membuahkan hasil: Fazzrudin

0

KUCHING: Usaha keras skuad Kuching FA akhirnya membuahkan hasil selepas berjaya menjulang kejuaraan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) buat julung kali.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan kemenangan menundukkan wakil dari Perlis, Padang Besar dengan 3-1 adalah kejayaan bermakna.

Lebih manis, kemenangan pasukan wakil dari Sarawak itu sekali gus merangkul gelaran juara LBR edisi pertama.

“Bersyukur dengan kejuaraan ini dan merupakan kejayaan bermakna buat skuad Kuching, dan KDFA,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam pada itu, Fazzrudin turut mengucapkan tahniah kepada kepada pengurus pasukan, Iswandi Ali Hassan serta seluruh pasukan atas kejayaan tersebut.

Menurutnya, kejuaraan itu bukan sahaja kejayaan pasukan Kuching FA malah menjadi suntikan semangat kepada pasukan-pasukan lain di negeri ini.

Katanya, ketekunan dan sikap tidak berputus asa menjadi tunjang kejayaan setiap kali berhadapan dengan cabaran pasukan-pasukan bertanding.

Dalam aksi final malam kelmarin, Kuching FA turun tanpa kaptennya, Ahmad Safiee Tuah yang digantung perlawanan selepas mengutip dua kad kuning bermula garang seawal minit pertama menerusi Mohd Izzudin Jahidin.

Sementara gol kedua Kuching dijaringkan penyerang, Sufizal Ismail minit ke-10 sebelum Padang Besar merapatkan kedudukan minit ke-33 menerusi Helmi Kassim dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, giliran Shahfiqqi Salim merembat masuk gol ketiga minit ke-80 sekali gus mengesahkan kejuaraan menjadi milik Kuching FA.